Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki . GAMBAR: Abd Razak Aid

MAKLUMAT disampaikan media memainkan peranan besar dalam usaha membanteras rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, maklumat dalam bentuk berita, rencana, artikel di media cetak, radio dan televisyen membantu dari segi pendidikan, pengajaran, amaran mahupun pembongkaran kes rasuah.

“Media juga menjadi perantara bagi pihak berkuasa dan masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan berguna.

“Aliran maklumat yang sahih dan membina adalah teras sebuah masyarakat dan negara berintegriti, maju dan berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam SPRM bersama Kelab Media Johor di sini, malam tadi.

Baca artikel berkaitan: SPRM kembalikan dokumen yang diambil daripada PPM

Turut hadir Pengarah SPRM negeri Johor Datuk Azmi Alias dan Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak.

Azam berkata media juga dikenali sebagai the fourth estate, selepas badan eksekutif, legislatif, dan badan kehakiman, yang memainkan peranan check and balance (semak dan imbang) dengan memantau secara kritikal untuk mengimbangi kuasa dalam masyarakat. 

— BERNAMA