TAHUN ini Rayi Putra ingin mengembangkan satu lagi bakatnya. Selain melagukan rap dan menyanyi, dia juga ingin menari.
Tidak mahu melakukannya dengan separuh hati, dia mula belajar seni tari daripada penari profesional Ufa Sofura. Ternyata usahanya itu tidak sia-sia.
Biarpun dia tidak asing dengan dunia pentas dan persembahan, menari mengikut koreografi merupakan sesuatu yang sangat berbeza. Dengan niat untuk menjadi lebih bagus, dia telah berlatih setiap bulan sepanjang tahun sehingga kini.
Ini akhirnya menjadi dasar untuk satu bab baharu dalam dunia Rayi Putra.
“Selama ini saya tidak rasa mempunyai lagu solo yang sesuai untuk ditarikan sehinggalah kelahiran lagu Matamata ini,”katanya.
Demo lagu tersebut telah menarik perhatiannya dan selanjutnya menjadi satu pengembaraan yang mengujakan. Lirik lagunya ditulis oleh dirinya sendiri bersama STYPHT dan diterbitkan oleh Oomax serta DJ CZA, DJ tersohor dari Medan, Indonesia yang pernah mencipta nama dalam dunia hip hop Malaysia.
Melalui lagu ini, Rayi Putra telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dia buat iaitu melucutkan jiwa rap serta hip hopnya untuk seketika dan menggantikannya dengan nyanyian serta tarian sepenuhnya.
Hasil akhirnya benar-benar menakjubkan dan mampu mengubah katalog peribadi Rayi Putra. Bermula dengan irama xylophone dan bunyian whoa-oh yang bergema di latar belakang, lagu ini pasti akan menggoda mereka di lantai dansa.
‘You’re on my radar. Then you go,’ begitu bait-bait lagunya yang menunjukkan dia gigih ‘mencari’.Tepukan pada pra-korus membina kemuncak lagu yang diakhiri dengan korus yang meletup berbunyi ‘I’m looking for you. Using all means like spies,’ tanpa disedari, pendengar juga mula ‘tercari-cari’.
Dia mendedahkan bahawa warganet di Indonesia yang suka mencari perkara remeh dan juga maklumat penting di Internet dengan penuh ketekunan menjadi ilham di balik lirik Matamata.
Dari situ dia mengubahnya menjadi satu sketsa umum yang mencerminkan cabaran bercinta di zaman digital: “stalking” atau menjejak orang yang disukai melalui media sosial.
Sebuah klip video dinamik dan penuh warna-warni untuk Matamata juga bakal menunjukkan kehebatan tarian Rayi Putra yang telah gigih dia pelajari.
Diarah oleh Chandra Liow dan Timo, ia turut menampilkan guru tarinya Ufa Sofura, dan ia adalah video muzik paling unik yang pernah dia hasilkan.
Walaupun telah lama berada dalam industi muzik sepanjang lebih sedekad bersama kumpulan RAN, Rayi berasa yang dia masih mencari satu identiti untuk projek solonya.
Namun dia menjanjikan satu perkara, iaitu tidak akan berhenti mencari, menjelajah dan berusaha sehabis mungkin.
“Buat masa ini saya gembira dengan proses pencarian dan hasil kerja projek Matamata.
“Semoga ini menjadi puncak kerjaya dan menjadi pembuka untuk projek solo saya yang lain di masa hadapan,” katanya penuh pengharapan.
Dengan pandemik yang kini berada di penghujung fasa, Matamata menjadi satu karya sempurna dan sesuai untuk diraikan, sesuatu yang sangat diperlukan masa kini.

