surah al-Ikhlas 1/3 al-Quran

Katakanlah (Muhammad), “Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) yang tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya,” Surah al-Ikhlas.

Istimewanya surah ke-112 di dalam kitab suci Al-Quran ini telah dinyatakan dengan jelas dalam beberapa hadis. Antara yang disebut-sebut adalah fadilat yang diperoleh setelah membaca surah al-Ikhlas, maka dia seakan membaca satu pertiga al-Quran.

Al-Bukhari pernah meriwayatkan dari Abu Sa’id r.a, ia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya,

“Apakah salah seorang di antara kalian tidak mampu membaca sepertiga al-Quran dalam satu malam?” Maka, sahabat merasakan itu adalah sesuatu yang begitu berat untuk dilakukan sehinggalah mereka berkata, “Siapa di antara kami yang mampu melakukannya wahai Rasulullah? Maka beliau bersabda : “Allaahul Waahidul Somad (surah al-Ikhlas) itu sepertiga al-Quran.

Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Zohdi Mohd. Amin, memang terdapat hadis sahih yang menjelaskan bahawa dengan membaca surah al-Ikhlas adalah bersamaan dengan satu pertiga al-Quran.

Walaupun terdapat beberapa riwayat yang menyebut bahawa dengan membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, dia akan mendapat pahala membaca seperti mana khatam al-Quran, bagaimanapun tiada riwayat hadis yang cukup kuat untuk menyokong pendapat tersebut.

Bahkan sandarannya adalah lemah dengan ketara atau pun hadis daif yang kuat. Meskipun seseorang yang membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali pun, ia masih tidak dapat menyamai pahala seseorang yang khatam al-Quran sepenuhnya.

Namun begitu, sekiranya seseorang membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, apa yang pasti adalah dia akan mendapat pahala yang banyak, seumpamanya membaca satu pertiga al-Quran sebanyak tiga kali.

Namun bagaimana pula persoalan tentang satu pertiga al-Quran itu? Adakah pernah dinyatakan tentang ia bermula pada juzuk berapa sehingga berapa?

Jelas Dr. Zohdi, ia tidak pernah dinyatakan di mana-mana hadis. Tambahnya juga, ulama ada menyatakan surah al-Ikhlas ini dianggap seperti mana satu pertiga al-Quran kerana surah ini menceritakan asas-asas tentang akidah.

Maknanya satu pertiga al-Quran ini menceritakan satu pertiga kandungan al-Quran, iaitu tentang akidah. Satu pertiga al-Quran lagi ia menceritakan tentang hukum hakam dan satu pertiga lagi ia menceritakan tentang akhlak.

Jadi surah al-Ikhlas ini memang surah yang menceritakan tentang asas dalam aspek akidah. Dapat disimpulkan bahawa perihal tentang akidah sudah disebut di dalam surah al-Ikhlas itu yang menyamai hal-hal berkaitan akidah yang disebut di dalam al-Quran.

4 Asas Akidah

Akidah itu tidak lari daripada empat asas ini, seperti mana yang tertera dalam surah al-Ikhlas iaitu, Allah S.W.T. itu Esa dan tiada sekutu. Kedua, Allah itu menjadi tempat untuk mendapatkan hajat, bantuan dan tempat pergantungan. Ketiga ia berkenaan tentang kewujudan Allah itu berbeza dengan kewujudan makhluk yang lain yakni, kewujudannya tidak bermula dengan kelahiran. Keempat adalah sifat Allah Taala itu tidak menyerupai apa-apa ciri makhluk.

Jadi tidak mustahil jika ada yang ingin mengejar pahala satu pertiga al-Quran itu, maka ada yang mengambil langkah dengan membacanya berulang-ulang kali.

Memang ada dinyatakan dalam satu kisah sahabat Rasulullah yang sentiasa membaca surah al-Ikhlas dalam setiap rakaat solat.

Sekiranya seseorang membaca lebih banyak surah ini, maka lebih banyak pahala yang diperolehnya. Bahkan jika seseorang mengulanginya secara istiqamah kerana cintakan surah ini, cintanya itu akan membawa ke syurga.

“Ini ada dinyatakan dalam Hadis Riwayat al-Tarmizi, Abu Hurairah berkata,

“Aku pergi bersama-sama Rasulullah, maka Baginda mendengar seorang lelaki membaca Qulhu wallahu Ahad, maka Baginda s.a.w. bersabda, “Wajiblah”. Aku bertanya “Apa yang wajiblah itu?” Baginda menjawab, “Syurga (baginya).”

Ia memperjelaskan bahawa mengamalkan sesuatu amalan walaupun sedikit tetapi diamalkan secara beristiqamah adalah sesuatu yang dituntut dan disanjung oleh syarak.

Hal ini turut disebut di dalam Hadis Riwayat Al–Nasa’i,

Seorang lelaki mendengar seseorang membaca Qulhu wallahu Ahad dengan mengulang-ulangnya. Pada pagi harinya, lelaki itu menemui Rasulullah s.a.w. dan menceritakan hal itu kepada beliau. Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Demi Dzat yang jiwa ku ada di dalam kekuasaan Nya, surah itu sepadan dengan sepertiga al-Quran.” Jelaslah di sini tidak mengapa jika membaca surah al-Ikhlas secara berulang-ulang, malah Rasulullah pun tidak melarangnya.   

Waktu Khusus Baca Al-Ikhlas

Begitu juga tiada dalil secara khusus tentang waktu yang dibolehkan dan dibenarkan untuk membaca surah ini. Namun secara asasnya, ia dibolehkan kepada sesiapa sahaja untuk membacanya dan juga pada bila-bila masa.

Kecuali ada beberapa perkara yang mengatakan ia tidak boleh dibaca seperti ketika berada di dalam hadas besar mahupun berada di kawasan yang kotor seperti tandas.

Seperti yang dilakukan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. yang mana beliau membaca surah ini setiap kali dalam solat dan Rasulullah s.a.w. tidak melarangnya. Serta ulama turut menjelaskan bahawa membaca surah ini di dalam solat adalah lebih besar pahalanya berbanding di luar solat.  

Dalam hadis Al-Tirmizi, Anas bin Malik berkata,

“Seorang sahabat Ansar mengimamkan mereka di Masjid Quba’, setiap kali mengawali untuk membaca surat (setelah membaca al-Fatihah) dalam solat, ia selalu memulainya dengan membaca Qul Huwallahu Ahad hingga selesai, lalu ia melanjutkan dengan surah yang lain, dan ia selalu melakukannya di setiap rakaat.

Lantas para sahabatnya berbicara padanya, kata mereka; “Kamu membaca surat itu lalu menurut mu itu tidak mencukupi mu hingga kamu melanjutkannya dengan surah yang lain, bacalah surah tersebut atau tinggallah lalu bacalah surat yang lain.”

Sahabat Ansar itu berkata, “Aku tidak akan meninggalkannya, bila kalian ingin menjadi imam kalian dengan membacanya, maka aku akan melakukannya dan bila kalian tidak suka, aku akan meninggalkan kalian.”

Sementara mereka menilainya sebagai orang yang paling mulia di antara mereka, maka mereka tidak ingin diimami oleh orang lain. Apabila Nabi s.a.w. mendatangi mereka, mereka memberitahu masalah itu, lalu beliau bersabda,

“Wahai fulan, apa yang menghalang kamu untuk melakukan yang diperintahkan teman-teman mu dan apa yang mendorong kamu membaca surah itu di setiap rakaat?” Dia menjawab,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menyukainya.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya dengan mencintainya akan memasukkan mu ke dalam syurga.”

Sunnah Dibaca Sebelum Tidur Dan Berulang Kali

Selain itu, ada juga yang mengatakan Rasulullah s.a.w. mengamalkan surah ini sebelum tidur. Ia disebut di dalam hadis Bukhari. Aisyah r.ha. berkata,

“Apabila Rasulullah s.a.w. hendak tidur, maka beliau akan meniupkan ke telapak tangannya sambil membaca Qul Huwallahu Ahad (surah al-Ikhlas 1-4) dan Mu’awidzatain (surah an-Nas dan al-Falaq), kemudian Baginda mengusap ke wajahnya dan seluruh tubuhnya. Aisyah berkata; “Ketika beliau sakit, baginda menyuruh ku melakukan hal itu.”

Manakala terdapat hadis lain yang menyatakan fadilatnya membawa ke syurga. Di dalam Hadis Riwayat Ahmad (hadis daif ringan), Mu’adz bin Anas Al Juhani, salah seorang sahabat Nabi s.a.w  dari Nabi s.a.w  bersabda,

“Barang siapa membaca Qul Huwallahu Ahad, sampai sepuluh kali, Allah membangunkan istana di syurga baginya.”

Umar bin Khattab berkata, “Kalau begitu saya akan memperbanyakkan wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah, lebih banyak dan lebih bagus.”

Menurut Dr. Zohdi, meskipun sanad hadis ini sedikit lemah, namun ia boleh diamalkan kerana melibatkan kelebihan amalan. Ulama hadis memberi kelonggaran dalam beramal dengan hadis daif seperti ini. Wallahu a’lam   

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare