Sebahagian daripada pengembara yang tiba di pintu masuk utama negara sempena pembukaan semula sempadan negara bermula hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMBUKAAN semula sempadan negara sepenuhnya bermula hari ini dijangka mampu memberi impak positif dengan meningkatkan pertambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Pada masa sama, penganalisis ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid turut menjangkakan ekonomi negara akan kembali rancak sehingga ke tahap 80 peratus pra pandemik COVID-19.

Menurut Baharom, usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuka semula sempadan mulai hari ini disifatkan tepat pada masanya apatah lagi ia merupakan permulaan kepada suku kedua.

Beliau berkata, langkah itu amat positif dan mendatangkan pulangan yang amat baik bukan sahaja untuk rakyat malah kepada ekonomi dan negara.

“Dari segi ekonomi, apabila pelancong meningkat secara mendadak, maka sektor yang sebelum ini agak terkesan seperti penerbangan, perhotelan, pemakanan dan sektor cenderamata akan dapat mula membina kembali ekonomi mereka.

“Dengan pembukaan semula sempadan ini, margin pertambahan kepada KDNK akan berada di sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Sebelum ini kita jangkakan KDNK akan berada di sekitar 5 hingga 6 peratus, jadi kita boleh jangkakan jurang baharu adalah antara 6 hingga 7 peratus dengan pembukaan sempadan ini,” katanya ketika dihubungi UtusanTV hari ini.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, sektor ekonomi gig juga dijangka menerima kesan limpahan yang tinggi terutama di titik pelancongan seperti Langkawi, Melaka dan juga Pulau Pinang.

Baca artikel berkaitan: Tangisan, sorakan kegembiraan sambut pembukaan semula Tambak Johor, Linkedua

Malah, kata beliau, pembukaan semula sempadan juga bakal mewujudkan pekerjaan baharu sekali gus mengurangkan impak kepada kadar pengangguran.

“Bukan itu sahaja, langkah ini juga memberi kesan positif dari segi sosial, ada suami isteri yang terpisah, anak dengan ibu bapa, jadi mereka dah boleh kembali bersama lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan.

“Mungkin akan ada sedikit kesan negatif dari segi peningkatan penularan COVID-19 tetapi saya rasakan ia hanyalah jangka pendek kerana kalau kita perhatikan indikator utama seperti penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan jangkitan pada kategori 4 serta 5, jumlah itu terlalu sedikit.

“Faedah pembukaan sempadan ini jauh melangkaui kesan negatif tetapi kita harus terus berhati-hati dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelas beliau.

8 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai hari ini yang membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara dan menerima pelancong dari luar negara tanpa sebarang syarat yang terlalu ketat.

Perdana Menteri memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram