ANDA perasan tak, jika dibandingkan dengan orang Barat, penduduk Asia mempunyai wajah yang jauh lebih awet muda. Malah, perkara ini turut diakui oleh penduduk Eropah sejak dahulu lagi.

Pada persepsi masyarakat Barat, rupa paras orang Asia yang berumur 30-an kadangkala terlihat seperti remaja belasan tahun. Mereka juga selalu beranggapan bahawa raut wajah orang Asia tampak lebih muda meskipun umur sebaya.

Salah satu yang pernah popular diperkatakan dahulu ialah kisah seorang wanita kelahiran Hunan, China, bernama Xia Da. Dia merupakan salah seorang seniman ‘manga’ yang popular kerana wajah keanak-anakannya. Rupa paras dan fizikalnya seperti remaja belasan tahun walaupun hakikatnya usia wanita itu sudah memasuki angka 40.

Kecomelannya itu membuatkan Xia Da menjadi fenomena terutama dalam cerita kartun dan permainan video Jepun.

Xia Da, pelukis manga yang popular kerana wajahnya yang tampak seperti remaja belasan tahun.

Berdasarkan statistik, sebahagian besar penduduk Asia memiliki kelebihan serupa sehingga terlihat lebih awet muda daripada usia sebenar. Apakah rahsianya?

Daripada beberapa kajian, didapati kesan awet muda pada orang Asia dipengaruhi oleh kekhasan genetik, khususnya pada fizikal dan bentuk muka.

Orang Barat umumnya memiliki bibir tebal dan mata yang tegas sehingga menampakkan mereka lebih matang daripada usia sebenar. Berbeza dengan kebanyakan orang Asia yang mana mempunyai komponen wajah agak unik – mata sayu, bibir tipis, kedudukan tulang pipi yang agak tinggi, dahi rendah dan memiliki lapisan lemak pada bahagian pipi. Kombinasi inilah membuatkan penampilan orang Asia tampak lebih muda daripada usia sebenar.

Beberapa orang pemerhati juga percaya bahawa kehadiran lemak di sekitar wajah orang Asia menonjolkan lagi kesan awet muda. Sebagai contoh, ras Asia memiliki banyak lemak di sekitar mulut dan mata seperti kelopak mata. Tumpukan lemak di bahagian tersebut membantu mengurangkan garis-garis kedutan pada wajah orang Asia.

Sementara orang Barat pula, mereka memiliki lemak yang sedikit di bahagian tersebut sehingga menampakkan garis-garis halus atau kedutan di wajah. Timbulnya garisan dan kedutan pada mata dan sekitar mulut ketika ketawa membuatkan orang Barat nampak tua sebelum usia.

Satu lagi sebab yang memungkinkan terjadinya perbezaan tersebut ialah warna kulit. Dibandingkan orang Barat, kebanyakan ras Asia adalah berkulit kuning langsat, coklat atau sawo matang.

Menurut pakar kulit dari Columbia University, Dr. Monica Halem, adalah beruntung bagi mereka yang tidak berkulit putih pucat. Ini kerana, ton kulit sedikit gelap sebenarnya lebih sihat dan lebih muda. Tidak hanya itu, pigmen kulit sebegitu juga terbukti memiliki lebih banyak melanin yang dapat memberi perlindungan daripada kesan cahaya matahari.

Cahaya matahari boleh jadi sangat berbahaya kerana terdapat dua jenis sinaran ultraungu di dalamnya. Terdedah terlalu lama di bawah sinaran ini bukan sahaja akan merosakkan kulit, bahkan boleh menimbulkan pelbagai masalah kulit seperti jeragat dan tanda-tanda penuaan lain.

Kebanyakan orang Asia tidak suka berjemur di tengah panas. Majoritinya lebih suka mengelak daripada terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari. Bukanlah pemandangan pelik jika melihat gelagat orang Asia berpayung dan berlindung daripada cahaya matahari. Juga bukan suatu yang asing apabila melihat orang Asia memakai atau menggunakan krim pelindung UV. Semua itu dilakukan demi menjaga mengekalkan keremajaan kulit dan ternyata ia bukan perkara sia-sia.

Tetapi lain pula halnya dengan orang Barat. Mereka sangat sukakan cahaya matahari. Pantang ada masa terluang, mereka akan bercuti di tepi pantai dan menghabiskan masa berjemur di bawah matahari. Walaupun menyeronokkan, namun amalan itu telah menimbulkan kesan penuaan di wajah mereka. Selain itu, cuaca sejuk dan persekitaran kering juga antara sebab mengapa kulit orang Barat kelihatan lebih tua.

Kajian yang dibuat oleh Monash University di Melbourne, Australia, mendapati diet ‘mat saleh’ yang gemar memakan makanan diproses seperti daging, kentang goreng, piza, burger dan minuman tinggi laktosa turut membawa kepada wajah lebih matang. Berbanding dengan diet Asia yang tipikal, di mana kurang mengambil makanan tersebut di samping mengamalkan makanan dan minuman tradisional dikatakan menjadi penyambung kepada penampilan awet muda.

Jadi, berbanggalah kita menjadi orang Asia. Orang Barat pun ‘cemburu’ dengan keremajaan wajah kita tau!

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/