Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan GAMBAR: Abd Razak Aid

KERTAS siasatan kes kematian seorang bayi di pusat jagaan yang didakwa bapanya dijerut telah dikembalikan semula kepada polis dengan beberapa arahan lanjut untuk melengkapkan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kertas siasatan bagi kes itu telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan sebelum ini dan dikembalikan semula kepada pihaknya.

Menurut beliau, polis mengambil masa menyiasat kes tersebut kerana perlu mendapatkan beberapa laporan daripada agensi berkaitan.

Abd. Jalil memaklumkan, ia bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.

Pada masa sama, Abd. Jalil menegaskan bahawa polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan.

“Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’.

“Polis mengambil maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bayi berusia 24 hari ditemukan tidak sedar diri ketika tidur selepas menyusu

Beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang dan masa bagi memastikan siasatan dibuat secara komprehensif dan holistik.

Pada 22 Februari lalu, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.

Bulan lalu, bapa mangsa mendakwa bayi berkenaan dijerut dan bukannya terjerut buaian.

Menerusi hantaran di Facebook bapa mangsa turut menyatakan ketidakpuasan hati susulan kes berkenaan belum dituduh di mahkamah sehingga hari ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram