uyaina arshad

PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad,30, berkongsi berita gembira apabila dirinya kini sedang hamil anak sulung.

Perkara berkenaan diumumkan Uyaina yang juga isteri kepada pelakon dan penyanyi Raja Syahiran menerusi entri di Instagram miliknya

“Salam Ramadan. Alhamdullillah terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan untuk Syahiran dan Uyaina.

“Insya-Allah tak lama lagi keluarga kecil kami akan bertambah. Syukur padamu ya Allah.

“Honestly (sejujurnya), kami masih tak percaya yang kami berdua bakal menjadi ibu dan ayah,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, pelakon Kau Cipta Kasih itu tidak memperincikan usia kandungannya.

Dalam pada itu, Uyaina turut memohon orang ramai mendoakan keadaan kesihatan diri dan bayi di dalam kandungannya.

“Kami mohon doa dari kalian semua untuk kesejahteraan dan keselamatan Uyaina dan bayi sepanjang tempoh mengandung dan melahirkan nanti.

“Semoga segala urusan dipermudahkan dan semoga kami dapat memikul tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin.

“Ramadan kali ini membawa seribu satu kemanisan buat Syahiran dan Uyaina. Pertama kali menyambut Ramadan sebagai suami isteri dan pertama kali juga menyambut Ramadan dan Syawal sebagai bakal ibu bapa,” katanya.

Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran mendirikan rumah tangga 20 Disember lalu.