SELEPAS 10 minggu bersiaran, program realiti berkonsepkan pertandingan pencarian bakat yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi di Awesome TV, MIC ON! melabuhkan tirainya dengan konsert pentas akhir pada Jumaat lalu dengan menyaksikan peserta kegemaran ramai, Tuah, dinobatkan sebagai juara untuk musim kedua ini.
Tuah atau nama penuhnya Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini,29, telah berjaya memenangi hati ketiga-tiga Juri Tetap iaitu Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu menerusi lagu Cintaku 100 %, nyanyian asal Mas Idayu bagi segmen Tribute Untuk Juri dan Salam Terakhir, nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj. Arshad untuk segmen Bebas.
Dengan markah keseluruhan sebanyak 521/600, Tuah membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM15,000 dan sebuah trofi sumbangan Awesome TV.

Hattan menyifatkan Tuah sudah bersedia untuk berada dalam industri seni tanah air selepas konsisten membuat persembahan dengan baik sepanjang 10 minggu MIC ON! berlangsung.
“Kebolehan Tuah untuk mempersembahkan lagu-lagu yang ditugaskan dengan baik dan kurang memperlihatkan kesilapan sepanjang berlangsungnya konsert selama 10 minggu membuktikan sebenarnya dia sudah bersedia untuk berada dalam industri seni tanah air.
“Kebolehan dia menyampaikan persembahan terutamanya dengan lagu-lagu bergenre rock perlu diakui ramai. Dan ia ini layak ditawarkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai vokalis untuk kumpulan-kumpulan rock terhebat tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, Awie berpendapat, Tuah antara bakat tempatan yang boleh diketengahkan dalam industri seni tanah air.
“Saya sarankan Tuah untuk bersama dengan Din dan Kid, menjadi vokalis kumpulan Search. Tuah adalah bukti kita mempunyai ramai bakat-bakat tempatan yang hebat dan boleh diketengahkan seterusnya menyerikan lagi industri seni tanah air.
“Pada masa yang sama, kebolehan Tuah untuk bermain instrumen muzik memberi kelebihan untuk terus menyerlah dalam bidang ini. Mungkin kali ini, rezeki betul-betul di pihak Tuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, “Manager” Tuah, pelawak Fad Bocey yang ditugaskan untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar dari minggu ke minggu diumumkan sebagai “Best Manager” untuk musim ini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi.
Ini merupakan kemenangan berganda buat Fad kerana dia juga berjaya mengungguli kategori yang sama pada musim pertama tahun lalu.
Di tempat kedua pula ialah Bulan, dengan markah keseluruhan sebanyak 443. Dia mempersembahkan lagu Dari Kekasih Kepada Kekasih nyanyian Hattan dan Segalanya Ku Terima (Ilusi), masing-masing untuk kategori Tribute Untuk Juri dan Bebas. Bulan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Manakala, Haze terpaksa akur di kedudukan ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 425 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 dan sebuah trofi.
Namun begitu, kejayaan malam tersebut dilihat berganda buat Haze kerana diumumkan sebagai pemenang Talent Terbaik MIC ON! Musim Kedua Pilihan Awesome TV.
Kemenangan ini berpihak kepada Haze kerana tahap persembahan yang ditampilkan dari minggu ke minggu dilihat meningkat dan potensi yang ditunjukkan ternyata berjaya memenangi hati barisan juri.
Haze telah membawakan lagu Memburu Rindu, nyanyian asal Hattan dan Suratan Atau Kebetulan oleh Kenny, Remy & Martin.
Zakir pula berada di tempat keempat dengan markah keseluruhan sebanyak 392 dengan lagu Hukum Karma (Wings) dan Jangan Khianati Aku (Azlan Typewriter).
Finalis tunggal wanita, Yulia, berada di kedudukan kelima dengan markah 353. Dia mempersembahkan lagu Selangit (Mas Idayu) dan Gemilang (Jaclyn Victor).
Dua lagi peserta, Hafiy dan Aiman terpaksa akur dengan kedudukan masing-masing di tangga keenam dan ketujuh.
Pentas akhir MIC ON! edisi kali ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran empat artis popular kesayangan ramai, Black, Tomok, Naqiu dan Hazama yang mana masing-masing diberi tanggungjawab untuk menduduki kerusi SuarNet, mewakili suara warga netizen.
Tidak terhenti di situ sahaja, mereka turut menyampaikan persembahan penutup yang cukup memukau audiens di dalam dewan mahupun di kaca televisyen, sehingga menerima ‘standing ovation’ daripada juri dan penonton dengan lagu akhir, Bujang Senang.
MIC ON! musim kedua dikendalikan oleh Issey Fazlisham dan susunan muzik sepanjang berlangsungnya konsert mingguan pula dikemudikan oleh Hashridz Murshim atau lebih dikenali dengan nama Datuk Acis yang bertindak sebagai Pengarah Muzik.
Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan ‘MIC ON! musim kedua bagi merebut gelaran juara.
Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.
Setiap minggu peserta akan diberikan tugasan mengikut tema yang ditetapkan. Penjurian adalah 100 peratus oleh barisan juri tetap yang telah dilantik berdasarkan tiga kriteria pemarkahan utama iaitu daripada segi vokal (40%), kreativiti (30%) dan persembahan (30%).
Musim ini menyaksikan penglibatan ramai selebriti tanah air yang hadir sebagai Juri Jemputan, Hos Bersama dan menggalas tanggungjawab sebagai figura “SuarNet”. Mereka seperti Datuk DJ Dave, Elly Mazlein, Adibah Noor, Naqiu, Black, Tomok dan ramai lagi.
MIC ON! musim ini bersiaran selama 10 minggu dan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam dari 28 Januari lalu. Ulang siar program MIC ON! boleh ditonton di saluran YouTube rasmi dan laman sesawang Awesome TV di www.awesometv.my.
Penonton juga boleh mengikuti perkembangan terkini program ini menerusi akaun media sosial Awesome TV.