Aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Jerman mengadakan latihan PASSEX di perairan Selat Melaka.

Saudara Pengarang,

Dalam pameran Defence Services Asia (DSA) baru-baru ini di Kuala Lumpur, banyak teknologi pertahanan yang dipamerkan. Namun sebagai seorang mantan anggota TLDM, terdetik sedikit rasa terkilan di hati saya bahawa aset-aset yang dipamerkan ini, hanya sekadar pameran. TLDM atau perkhidmatan lain jarang dapat menggunakan aset aset moden ini kerana kekangan belanjawan dan juga Kerajaan yang tidak memahami keperluan sebenar pasukan keselamatan negara. Sebenarnya, saya sedih dan malu apabila bercakap tentang aset aset pertahanan negara ketika ini.

Saya juga ada membaca bahawa TLDM juga berhasrat untuk membeli 3 lagi kapal misi pesisir (littoral mission ship, ataupun LMS). Ini merupakan langkah yang baik, namun berbanding kapal tempur pesisir pantai (ataupun Littoral Combat Ship, LCS), LMS jauh lebih kecil dan mempunyai keupayaan yang terhad. Sebagai pesara TLDM, saya amat memahami keupayaan LMS berbeza dengan LCS. Walaupun kita sudah mempunyai 6 buah kapal LMS dan akan membeli lebih banyak di masa hadapan, tiada bilangan LMS yang mampu menyerupai keupayaan sebuah kapal LCS.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany sendiri telah menyuarakan pandangan TLDM agar Kerajaan segera membuat keputusan untuk meneruskan projek LCS yang masih terbengkalai.

Sebagai end-user atau pihak yang menggunakan kapal LCS ini, rayuan dan pandangan TLDM perlu dipertimbang oleh Kabinet dengan segara.

Sememangya, syarikat yang bertanggungjawab menyiapkan projek ini, iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) berhadapan dengan beberapa masalah dari segi integriti, Kerajaan boleh mengambil beberapa langkah untuk memastikan perkara ini diselesaikan dan tidak berulang. Pokoknya, kepentingan negara harus diletakkan di atas segala permasalahan yang sedia ada. Kita harus mencari penyelesaian untuk bergerak ke hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang juga turut menyuarakan pandangan yang sama agar projek LCS ini diteruskan. Panglima Angkatan Tentera juga mengingatkan bahawa jangan terhantuk baru tengadah- satu mesej yang amat jelas supaya Kerajaan mempertimbangkan kepentingan masa hadapan negara sekarang supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Ramai yang tidak mengendahkan soal pertahanan sebenarnya, sehingga ketika apabila keselamatan negara terancam. Mungkin ketika itu, semua sudah terlewat. Tiada gunanya negara maju, kaya raya jika kita tidak dapat menjamin kedaulatan negara demi anak cucu kita.

Ada juga pihak yang membangkitkan, adakah teknologi yang digunakan LCS akan luput apabila ia lewat siap. Ini adalah satu persoalan yang menarik dan TLDM harus menjelaskan kepada pihak yang membangkitkan persoalan ini bahawa apabila sebuah kapal tempur dibina, ia bukan dibina untuk keperluan setahun dua.

Kapal-kapal tempur dibina untuk digunakan selama lebih dua puluh tahun. Ada sahaja kapal tempur yang masih beroperasi walau usianya sudah lebih tiga puluh tahun! Seperti telefon pintar atau komputer riba, perisian teknologi kapal tempur moden hari ini boleh dikemaskini atau di naik taraf setiap beberapa tahun. Jadi tidak timbul soal tentang teknologi yang luput akibat kelewatan menyiapkan kapal kapal LCS ini.

Saya amat berharap agar Kerajaan terutamanya Kabinet tidak lagi berlengah dalam menyelesaikan isu LCS ini. Mulakan kembali, dan bina kembali dan siapkan LCS ini secepat mungkin. Ketirisan perlu dihapuskan, vendor tempatan perlu diperkasa supaya mampu berjaya berkembang selari perkembangan LCS. Jangan dibiar projek ini terbengkalai buat masa yang lama. Perkara yang baik harus dipercepat dan dipermudah. TLDM akan lebih gagah dan perkasa jika Kerajaan berani membuat keputusan segera.

Suffian Y
Sungai Siput, Perak