Sumbangan disampaikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar Facebook Ismail Sabri Yaakob

MALAYSIA menerima sumbangan 57 tan kurma dan 46,000 naskhah al-Quran terjemahan ke Bahasa Melayu daripada Riyadh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan itu merupakan hadiah daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Menurut Perdana Menteri, sumbangan itu disampaikan oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

“Sebanyak 57 tan kurma dibawa khas dari Riyadh untuk diagihkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Selain pengagihan kurma, baginda juga akan menyumbang lebih 46,000 naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Melayu kepada masjid dan NGO seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian menerusi akaun Instagram hari ini.

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan Qatar

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hadiah terjemahan al-Quran ke dalam Bahasa Melayu itu adalah tanda persahabatan Malaysia dan Arab Saudi yang sangat istimewa.

Katanya, hal itu sejajar dengan hasrat Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Baginda Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta kerajaan Arab Saudi atas hadiah yang diberikan.

“Moga ikatan diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama akan terus kukuh dan berterusan,” katanya.