PENYANYI Datuk Aishah tidak menolak sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh setelah episod perkahwinannya terlerai pada Disember lalu.

Bagaimanapun, menurut Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin,57, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal jodoh dan hanya mahu fokus terhadap dirinya dan anak-anak.

“Kalau nak tahu, saya habis edah pada 25 Mac. Buat masa sekarang ini saya tak mahu fikir (jodoh). Saya gembira dengan anak-anak saya.

“Boleh ke kita tolak jodoh? Kalau kita kata tutup (hati), Allah yang mahu bukakan hati macam mana? Saya nak cakap apa? Perkara sebegini memang saya tak berani nak cakap lebih.

“Kita cakap beria malas mahu fikir (jodoh), tetapi tengok-tengok dah jumpa pengganti. Sekarang saya cuma mahu pakai cantik-cantik dan pergi membeli-belah,” ujarnya kepada URTV.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Pulanglah itu turut berkongsi perkembangan kehidupan terkininya yang dilihat sebagai peluang kedua selepas berjaya menurunkan berat badan menerusi pembedahan bariatrik.

“Semestinya saya dapat buat lebih banyak aktiviti. Ianya membantu menambah baik nyanyian saya dan buatkan saya lebih cergas.

“Perkara ini buat saya terfikir tentang hikmah di sebalik melakukan pembedahan bariatrik apabila terkena jangkitan Covid-19. Ajal dan maut itu memang ditangan Tuhan tetapi saya fikir kalau saya tak buat pembedahan itu, mungkin badan saya akan lebih menderita.

“Saya tak boleh bayangkan bagaimana petugas barisan hadapan (frontliners) nak kendalikan saya dengan badan yang besar itu. Macam mana kalau saya terpaksa ditidurkan, itulah komplikasi apabila menjadi orang yang berbadan besar,” katanya.

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran M-Hope yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, Aishah turut berkongsi kesan sampingan yang dialami selepas melakukan pembedahan tersebut bersama pakar bedah bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammed Taher.

“Saya dijangkiti wabak Covid sebanyak dua kali. Sewaktu jangkitan pertama, saya terpaksa berada di hospital selama 12 hari kerana paras oksigen menurun.

“Saya pernah tanya kepada Dr. Mustafa jika ada kesan sekiranya dijangkiti Covid kepada mereka yang melakukan pembedahan bariatrik?

“Dia kata tidak ada kesan tetapi kita akan lebih sihat dan ianya memang benar. Selepas saya turun berat badan, saya rasa lagi sihat dan kuat untuk melawan Covid walhal saya belum ambil vaksin ketika itu. Cumanya, kesan panjang selepas dijangkiti Covid ini memang terasa.

“Kesan yang lain adalah saya tak boleh makan macam dahulu. Maknanya kalau dahulu saya boleh makan sepinggan, sekarang saya cuma makan tiga ke empat sudu. Mesti ada yang kata sikitnya makan, tetapi perut saya rasa kenyang. Itu semua dalam kepala kita yang kata puas makan kalau ambil sepinggan nasi.

“Bagi saya cukuplah saya sihat dan mudah untuk duduk serta berjalan. Malah ketika nak bangun, badan saya juga sudah tidak sakit lagi. Itu satu perubahan yang cukup besar yang saya alami,” ujarnya.