PADA bulan April hingga Jun, beratus-ratus manusia ‘gila’ akan mendaki Gunung Everest dengan tekad mahu menakluk puncak dunia.

Manusia-manusia ini tidak pernah gentar walaupun mereka tahu, selain menjadi puncak tertinggi, Everest juga adalah tapak perkuburan yang tertinggi di planet bumi ini. Sejak 1922 sampai kini, sudah lebih 200 orang pendaki menemui ajal di sana. Ada mayat yang berjaya ditemui dan dibawa turun, manakala sebahagiannya langsung tidak dijumpai.

Para pendaki ini mati akibat kesejukan di bawah paras beku, tergelincir ke jurang yang dalam, bengkak otak dan kekurangan oksigen. Itulah Everest. Kehebatan dan keganasannya tetap menjadi impian golongan pendaki.

Sejak lokasi gunung itu dipetakan oleh Sir George Everest, ketua juru ukur British di India pada tahun 1843, Gunung Everest menyimpan jutaan cerita suka duka. Kisah kejayaan, kematian, kerjasama, kekecewaan, setiakawan dan kesungguhan.

Sir George Everest, juru ukur British yang memetakan gunung Everest.

Misalnya satu kisah klasik, pendaki British, George Mallory bersama rakannya, Andrew Irvine pada 1924, cuba untuk menawan puncak Everest selepas dua percubaan sebelum itu menemui kegagalan.

Mereka mendaki dengan penuh keazaman, tetapi sejak itu, dua sahabat karib tersebut terus lenyap, tidak pernah lagi ditemui. Hanya pada tahun 1999, barulah mayat George Mallory dijumpai, 700 meter dari puncak Everest. Mayat Andrew Irvine pula masih belum ditemui sampai sekarang.

Adakah Mallory dan Irvine terbunuh selepas menawan Everest, atau sebaliknya? Tiada siapa yang tahu. Bagaimanapun, cita-cita Mallory itu telah ditebus oleh cucunya pada tahun 1995.

Semua orang tahu, pendaki pertama yang sampai ke puncak Everest ialah Edmund Hillary, dan sherpanya, Tenzing Norgay, pada 29 Mei 1923. Ramai juga tahu, Everest itu tingginya 8848 meter. Puncaknya adalah batu.

Edmund Hillary dan Tenzing Norgay, pendaki pertama yang sampai ke puncak Everest.

Tetapi tahukah anda, sebenarnya Everest ini dahulunya bukanlah gunung, sebaliknya dasar laut! Inilah fakta yang paling menarik tentang Everest.

Menurut saintis dan ahli geologi, lebih 60 juta tahun lalu, berlaku pergerakan plat tektonik bumi. Plat-plat ini yang bergerak sepanjang masa akhirnya bertembung. Akibatnya, satu plat terangkat ke atas, satu lagi ke bawah. Dari plat yang menongkah secara berterusan itu lah akhirnya terbentuk Gunung Everest dan gunung-gunung lain.

Manakala, plat yang tertolak ke bawah pula mula mencair akibat haba panas di perut bumi. Lahar ini menggelegak dan kemudian keluar melalui rekahan serta titik-titik lemah di permukaan bumi, lalu terbentuklah gunung berapi, seperti Krakatau di Indonesia dan Eyjafjallajokull di Iceland.

Akibat pergerakan plat ini, gunung-gunung yang kita lihat kaku dan statik itu sebenarnya terus ‘bergerak’ dan meninggi. Situasi ini turut berlaku pada Everest, ia meninggi beberapa milimeter setahun.

Everest lebih 60 jutan tahun yang lalu adalah dasar laut.

Begitu juga dengan Humpback Rock di puncak Gunung Humpback, Amerika Syarikat. Menurut ahli geologi, satu bilion tahun dahulu, batu-batu di puncak gunung ini letaknya di dasar laut. Tetapi akibat perlanggaran plat-plat tektonik, ia terangkat dan daya tolakan yang berterusan itu menyebabkan ia terus meninggi, sampailah sekarang.

Satu lagi fakta menarik tentang gunung ialah, Allah S.W.T menjadikannya sebagai pengimbang berat kepada bumi. Oleh kerana itu, gunung ada di seluruh benua, diimbangkan pula dengan lembah, dataran serta lurah di sekitarnya. Ia memasak bumi dengan kekuatannya. Ini menyebabkan berat planet bumi terus seimbang pada setiap sisi, menyebabkannya tetap beredar sejajar pada orbitnya.

Maknanya, baik Gunung Everest mahu pun mana-mana gunung sekalipun, ia sentiasa bergerak, seperti yang dinyatakan dalam surah An-Naml: 88, “Engkau melihat gunung-gunung itu, engkau menyangka ia tetap di tempatnya, padahal ia bergerak seperti jalannya awan. (Demikianlah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kami kerjakan.”

Ternyata, apa yang dinyatakan oleh al-Quran, adalah benar dan dibuktikan pula oleh kajian sains dan geologi. Tetapi apakah yang berlaku kepada Rasulullah apabila baginda menyatakan kebenaran itu 1,400 tahun dahulu? Baginda dituduh manusia gila!

Bukan itu sahaja, kajian-kajian sains turut membuktikan, daratan ini suatu ketika dahulu bercantum. Pangaea (super benua) ini kemudiannya berpecah dan bergerak hingga terbentuknya benua serta lautan yang ada pada hari ini.

Rakaman satelit suatu waktu dahulu turut membuktikan jazirah Arab serta gunung-ganangnya didapati bergerak mendekati Iran beberapa sentimeter setiap tahun. Sedangkan, lebih lima juta tahun lalu, jazirah Arab bergerak memisahkan diri dari Afrika lalu membentuk Laut Merah.

Selain itu, pantai Timur dan Selatan Somalia juga dalam proses pemisahan dan telah membentuk Lembah Belah yang membujur ke selatan melalui deretan danau Afrika. Kepingan tektonik benua Australia juga sedang bergerak ke arah utara dengan kelajuan enam sentimeter setahun.

Sekali lagi, bukankah penemuan-penemuan sains serta geologi ini membuktikan al-Quran itu benar, sedangkan kebenaran itu hanya baru diketahui oleh ahli sains selepas 1,400 tahun Rasulullah mengungkapkannya?

Lalu, apabila pendaki-pendaki itu berjaya menakluki puncak Gunung Everest, janganlah sekali-kali mereka berasa angkuh. Sebaliknya, berdirilah di situ dengan perasaan kerdil, mengakui kebenaran Islam dan keagungan Allah, seperti mana yang difirmankanNya dalam surah Al-Isra’: 37…

Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan sombong kerana sesungguhnya engkau sekali-kali tidak akan dapat menembusi bumi dan sekali-kali engkau tidak akan sampai setinggi gunung.” (al-Isra’ : 37).

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/