Md Amin (dua dari kanan) Marzita (kanan sekali) dan Mohd Asri (kiri) semasa majlis pelancaran Program Kepimpinan Kewangan CGMA.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan Program Kepimpinan Kewangan (FLP), Akauntan Pengurusan Global Bertauliah (CGMA), hasil jalinan kerjasama dengan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA).

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, kerjasama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) ini sekaligus memudahkan laluan pelajar mendapat kelayakan profesional selepas bergraduat dari program-program Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana yang mendapat akreditasi pihak CIMA.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

“Sebagai sebuah universiti pendidikan terulung tanahair, UPSI mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik terutama badan-badan bertauliah antarabangsa seperti CIMA untuk memperolehi kelayakan profesional.

“Sebanyak sepuluh buah program ijazah yang akan diakreditasi, enam daripadanya merupakan Ijazah Sarjana Muda termasuklah program perakaunan, pendidikan perakaunan, pentadbiran perniagaan dan ekonomi serta empat program Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama.

“Sekaligus, memberi nilai tambah kepada mahasiswa yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana memperoleh kemahiran, kecekapan dan pemikiran supaya memenuhi kehendak majikan,” jelasnya ketika merasmikan majlis pelancaran program secara hibrid di Kampus Sultan Azlan Shah.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Marzita Puteh, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, serta Pengarah CIMA Asia Tenggara, Sam Chor dan Pengurus Pembangunan Perniagaan CIMA Rushdan Rozlan menerusi talian.

Menurut Dekan FPE, Profesor Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata, FLP ditawarkan secara modular dan mempunyai empat peringkat itu sijil, operasi, pengurusan dan strategik.

“Pelajar perlu mengikuti kursus secara dalam talian disediakan oleh pihak CIMA manakala tempoh pembelajaran dalam talian adalah dan mengikut langganan setahun hingga tiga tahun, bergantung kepada keperluan pelajar.

“Program Ijazah Sarjana Muda yang mendapat akreditasi bermula di peringkat Operasi dan Program Sarjana bermula di peringkat pengurusan. Setiap peringkat mempunyai 3 modul dan satu kajian kes,” jelasnya.

Tangkap layar majlis pelancaran Program Kepimpinan Kewangan (FLP) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah dan secara dalam talian menerusi pelantar Webex.

Menurut Mohd Asri lagi, pelajar yang berdaftar dengan FLP perlu menduduki peperiksaan bagi setiap modul dan menyelesaikan satu kajian kes untuk dianugerahkan kelayakan diploma bagi peringkat operasi manakala kelayakan Diploma Lanjutan bagi peringkat pengurusan serta kelayakan professional CGMA bagi peringkat Strategik dan pengalaman bekerja berkaitan.

“CGMA merupakan sebuah lantikan jawatan pengurusan perakaunan yang paling banyak iaitu sebanyak 137,000 penjawat di seluruh dunia,” ulasnya lanjut.