Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SERAMAI 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Syarif, Mesir ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu sekaligus menjadikan pelajar Malaysia menjadi bilangan pelajar antarabangsa paling ramai di universiti tersebut.

“Sejak dahulu lagi, para pelajar Melayu berhijrah ke Mesir khususnya Al-Azhar untuk menuntut ilmu.

“Menurut rekod, orang Melayu pertama yang pernah menuntut di Al-Azhar ialah Syeikh Wan Ahmad Wan Muhammad Zain AlFathani pada awal 1870-an.

“Beliau merupakan seorang ulama Melayu yang terkenal di Nusantara dan Mekah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Irdina terbaik, kedudukan pertama daripada 10,000 pelajar di Virginia Tech

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, lepasan Al-Azhar di Malaysia telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumninya.

Jelas beliau, lepasan Al-Azhar diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar ‘Ummatan Wasata’ atau ‘Wasatiyyah’ dalam melaksanakan ugas mulia selaku ulama.

“Usaha ini memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada kerajaan bagi kepentingan agama, negara dan ummah.

“Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah Islam dalam menangani
pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, konsep kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

Jelas beliau, konsep itu selari dengan seruan Al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

“Malah, amalan kesederhanaan ini juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum

“Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif.

“Semoga Al-Azhar terus melakar kecemerlangan dan kegemilangan yang berterusan,” katanya.

Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif bersempena ulang tahun ke 1,082 tertubuhnya Universiti Al-Azhar, Mesir disambut pada setiap 7 Ramadan.