Sultan Ibrahim Sultan Iskandar FOTO RPO


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu.


Titah baginda itu berikutan kehilangan empat orang penyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggul, berhampiran Pulau Sibu, semalam.


“Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan jika tahap keselamatan diragui.


“Peraturan-peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO).


Titah Sultan Ibrahim, peraturan yang telah dikaji semula juga perlu diumumkan bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.


Sementara itu, media hari ini melaporkan seorang daripada empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang semalam ditemui selamat.

Warga Norway, Kristen Grodem ditemui selamat dan tiba di Stadium Mersing, Johor kira-kira 12.05 tengah hari.

Op Carilamat empat penyelam warga asing itu disertai seramai 90 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk 30 penyelam berserta 18 bot dan dua helikopter telah digerakkan.

Pencarian yang masuk hari kedua, meliputi kawasan seluas 107 batu nautika radius.