PELAKON dan penyanyi Janna Nick meluahkan rasa bengang dan marah dengan sikap tidak berperikemanusiaan jirannya yang didakwa telah mendatangkan kecederaan kepada kucing kesayangannya.

Malah, Janna atau Nurul Jannah Muner,27, terkilan apabila jirannya tergamak mengugut mahu menyembelih kucingnya yang diberi nama Tempe.

“Tak faham macam mana boleh ada jiran macam ini. Saya jarang ada di rumah, saya rasa kucing selalu pergi rumah dia.

“Dulu dia pernah simbah air dekat kucing saya sampai basah. Tak tahu lah dia cabut bulu kucing ke apa. Takut kena cucuh rokok sebab sampai jadi merah-merah…takut kena kesan bakar.

“Siap ugut nak sembelih kucing. Tak baiklah macam ini,” katanya.

Penyanyi lagu Gatal itu turut berkongsi foto keadan kucingnya yang mengalami kecederaan di Instagram Story miliknya.

Tegas Janna lagi, kucing-kucing peliharaannya juga sudah dilatih untuk membuang najis di tempat sepatutnya dan yakin haiwan kesayangannya itu tidak akan mendatangkan masalah kepada orang lain.

“Saya ada tiga kucing dan faham orang akan marah bila kucing pergi rumah jiran. Saya dah cuba pasang jaring tapi kalau kucing panjat juga, nak buat macam mana?

“Tapi saya tahu kucing saya tidak akan berak atau kencing di rumah orang sebab kita dah ‘potty trained’.

“Jadi jangan nak menipu. Kalau betul kucing saya kencing atau berak di rumah jiran, tunjuk bukti. Jangan main dera kucing orang suka-suka hati.

“Macam mana manusia boleh bersikap kejam dengan binatang comel ini? Saya benci anda,” ujarnya.

Dalam entri di Instagram Storynya juga, Janna turut berkongsi beberapa artikel tindakan undang-undang yang dikenakan kepada individu yang membuat penganiayaan kepada haiwan.

Malah, Janna turut sedang memgumpul bukti untuk membuat aduan kepada pihak wajib.