KL City tumpas di tangan JDT 0-3. - Gambar Bernama

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan momentum kemenangan tiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan yang bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras mendahului pada minit ke-18 menerusi jaringan Fernando Frontieri, menjadikan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat babak pertama perlawanan.

Beralih babak kedua, skuad City Boys yang buntu tanpa jaringan dihukum bermain dengan hanya 10 pemain selepas D Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Leandro Velazquez.

JDT memperolehi gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson da Silva pada minit ke-81 sebelum menoktahkan kemenangan dengan gol ketiga dijaringkan Bergson pada masa tambahan.

Sementara itu, satu lagi aksi Liga Super berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pasukan tuan rumah Petaling Jaya City FC meraih mata penuh selepas mengecewakan Terengganu FC 3-0.

Baca artikel berkaitan: Nyalaan semangat JDT dalam Pioneers

Daren Lok muncul penjaring berbisa buat PJ City selepas mencetak jaringan hatrik pada minit ke-12, minit ke-31 dan minit ke-38 untuk selesa mendominasi permainan.

Di KEDAH, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan Sri Pahang FC 1-0 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Jaringan tunggal KDA FC dihasilkan bek tengah, Rodney Celvin Akwensivie pada minit ke-55.

— BERNAMA