Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. /Gambar FB BHEUU JPM

RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, dalam satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Bagaimanapun, sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April ini akan diteruskan seperti dirancang untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang diadakan pagi tadi.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan rang undang-undang ini mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini,” menurut kenyataan itu.

Baca: RUU Anti Lompat Parti perlu kajian mendalam, elak bercanggah

Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

Selain Wan Junaidi dan Saifuddin Nasution, mesyuarat itu turut dihadiri beberapa wakil kerajaan dan blok pembangkang antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Dalam mesyuarat itu juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10, bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat Mac lepas termasuk rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Mac lepas bagi membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

— BERNAMA