Bendera parti politik yang berkibar pada Pilihan Raya Negeri Johor. GAMBAR: Abd Razak Aid

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti memerlukan kajian dan penelitian mendalam sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tindakan lompat parti timbul pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Apabila nak lakukan perkara (gubal rang undang-undang) ini ia tidak semudah yang kita fikir kerana kita sedang fikirkan kaedah mana, sama ada segala dibuat one shot dalam Perlembagaan sahaja atau lebih tertib pinda klausa dalam Perlembagaan sebagai dasar…kalau tidak rang undang-undang ini boleh jadi null and void (batal dan tidak sah).

“Kita dah ada pengalaman undang-undang anti lompat parti (yang) dah diwujudkan di Kelantan tetapi apabila kes dibawa ke mahkamah (misalnya) dalam kes Nordin Salleh yang menjadi rujukan kita sekarang, mahkamah membuat keputusan undang-undang itu tak boleh pakai kerana bercanggah dengan peruntukan tertentu dalam Perlembagaan,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilapor berkata rang undang-undang berkenaan tidak akan dibentangkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat , Isnin ini (11 April).

Menurut Annuar kerajaan sememangnya komited untuk meneruskan penggubalan rang undang-undang berkenaan dan ketika ini kerajaan sedang giat melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang.

“Setakat ini, Kabinet telah membuat ketetapan dan komited untuk mewujudkan Akta Anti Lompat Parti dan perbincangan semalam ada konsensus dan sememangnya ia perlu dan tetap akan diwujudkan.

“Rundingan dengan pembangkang juga setakat ini kita sependapat di mana kedua-dua pihak kekal dengan pendirian seperti mana dalam MoU (memorandum persefahaman) kita sepakat,” katanya.

Baca: Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai cadangan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN yang ditolak oleh Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, Annuar berkata perkara itu tidak perlu dipanjangkan.

Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dimaksudkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja yang dituturkan di Malaysia sebaliknya yang turut digunakan dan dituturkan di Indonesia serta beberapa negara lain.

“Kongres bahasa Indonesia yang berlangsung di Medan pada 1954 antara lain memutuskan bahawa asal dan dasar bahasa Indonesia itu adalah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan perkembangan semasa masyarakat Indonesia.

“Justeru perkara ini tak perlu dipanjangkan asalkan ada persetujuan asas untuk negara ASEAN cuba menjadikan bahasa Melayu, bahasa kedua ASEAN,” katanya.

Pada 1 April lepas, Ismail Sabri dipetik sebagai berkata Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai bahasa ASEAN satu hari nanti dan kedua-dua negara turut sepakat untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.

Terdahulu, Annuar meluangkan masa melawat seorang penunggang motosikal, Jamal Shanker Ab Rahman, 45, di Hospital Pantai Cheras, yang cedera selepas terjatuh di lebuh raya Kerinchi Link pada Selasa lepas.

Baca: Annuar Musa bantu penunggang motosikal kemalangan

Justeru itu, beliau berkata bagi membolehkan penunggang motosikal yang mengalami kemalangan mendapatkan bantuan seperti bantuan tunda (towing), ambulans dan polis, satu aplikasi keselamatan sedang dibincangkan untuk dibangunkan bersama-sama pasukan sukarelawan.

“Insya-Allah seminggu dua lagi, saya bercadang nak melancarkan satu apps di mana penunggang motosikal boleh tekan hanya satu butang untuk dapatkan bantuan tunda, ambulans dan polis. Saya dah bincang dengan Uncle Kentang  (Kuan Chee Heng) dan pasukan dia. Saya harap dalam Ramadan ini juga, boleh dilancarkan dan ada cadangan (ia dilancarkan) pada tarikh 28 April,” katanya.

— BERNAMA