Ismee Ismail ketika hadir di mahkamah pada 2019./ Gambar fail Bernama

SEORANG saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menukar keterangannya dan mengaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sejumlah RM2.28 bilion daripada wang dana negara itu masuk ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di antara tahun 2011 dan 2014.

Bercanggah dengan keterangannya sebelum ini yang menyatakan Najib tidak menerima manfaat daripada wang 1MDB, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 58, menukar fikiran mengenai perkara itu dan setuju dengan pendakwaan selepas ditunjukkan carta aliran beberapa lapisan proses membabitkan Deutsche Bank dan kemudahan pinjaman Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN). 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika hadir ke perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 23 Mac lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Mengikut dokumen yang ditunjukkan kepada saksi pendakwaan ke-13 itu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, wang itu melalui beberapa siri lapisan proses sebelum berakhir dalam akaun peribadi Ambank Najib dengan nombor akhir 694 dan 880.

Sri Ram: Adakah anda ingin mempertimbang semula jawapan anda bahawa tertuduh tidak menerima sebarang manfaat daripada kesemua transaksi ini?

Ismee: Kesemua dokumen ini tidak ditunjukkan kepada saya semasa pemeriksaan balas. 

Sri Ram kemudian menyoal saksi itu sama ada beliau ingin menukar jawapannya dan Ismee menjawab “Daripada carta itu, saya boleh lihat sejumlah dana telah masuk ke akaun tersebut.”

Baca: Pengurusan 1MDB jemput Jho Low hadiri mesyuarat sulit pada 2009 – Saksi

Laporan audit 1MDB yang diberi kepada saya bukan draf – Saksi

Sri Ram mengulangi “Maksud anda, sejumlah dana milik 1MDB telah masuk ke akaun tertuduh” dan saksi itu bersetuju.

Terdahulu, Sri Ram menyoal Ismee mengenai pandangannya terhadap hubungan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dengan Najib sepanjang tempoh beliau berada dalam Lembaga Pengarah dari 2009 hingga 2016. 

Sri Ram: Sepanjang tempoh itu, daripada pemerhatian anda, apa yang dapat anda rumuskan mengenai hubungan antara Jho Low dan Najib?

Ismee: Saya percaya mereka mempunyai hubungan rapat.

Ditanya lanjut oleh Sri Ram sama ada beliau mempunyai pengetahuan secara peribadi mengenai butiran bagaimana Najib dan Jho Low berkongsi dana 1MDB, Ismee berkata beliau tidak tahu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. 

— BERNAMA