LEBIH 30 tahun berkecimpung dalam industri seni, pelakon Adam Corrie meluahkan kesyukuran apabila ada syarikat produksi berminat untuk menawarkan dirinya melakonkan watak seorang hero (tunggak utama).

Menurut Adam,54, dia turut teruja akan tawaran yang diterima sehingga pernah mempersoalkan pihak produksi sekiranya benar mahu mengambilnya sebagai watak utama dalam naskhah tersebut.

“Saya sudah terima banyak tawaran filem. Alhamdulillah, tahun ini tawaran yang diterima bukan pelakon pembantu atau ‘cameo’. Kebanyakkannya sebagai pelakon utama.

“Saya tanya mereka betul ke cakap dengan orang yang betul? Tak salah orang? Mereka jawab memang betul malah penerbit dan pengarah yang mahukan saya.

“Kalau ikutkan tahun ini saya ada tiga filem dan kesemuanya sebagai hero, masya-Allah. Perasaan saya memang teruja kerana tidak pernah orang tawarkan saya watak hero sepanjang berlakon,” ujarnya kepada URTV.

Malah, Adam juga memaklumkan dia sering berkongsi berita gembira tersebut dengan rakan-rakan penggiat seni yang lain, namun sebaliknya menerima reaksi yang kurang enak.

Pun begitu, sahabat seperjuangannya, pelakon Remy Ishak sentiasa memberi sokongan sekaligus membuatkan dirinya berasa bersyukur dengan respons positif tersebut.

“Setiap kali saya dapat tawaran filem, saya akan beritahu rakan-rakan, penerbit dan pengarah tetapi mereka semua gelakkan saya.

“Contohnya, saya cakap ‘doakan saya mahu buat penggambaran filem ini dan memegang watak hero’. Kemudian mereka akan balas dengan kata-kata ‘hero ke?’.

“Tetapi ada seorang artis iaitu Remy Ishak selalu sokong saya. Dia kata ‘tiba masanya (sebagai hero), pergi dan saya sokong awak’.

“Kalau artis lain hanya memandang saya atas dan bawah tetapi Remy Ishak tidak begitu. Alhamdulillah, terima kasih,” luahnya.

Adam Corrie berkata demikian ketika ditemui di Hari Usahawan Negara 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Adam yang pernah menerima kecaman kerana menggunakan ‘chopstick’ ketika makan turut mengulas lanjut isu tersebut yang hangat diperkatakan netizen baru-baru ini.

“Bagi saya, orang yang selalu komen (negatif) kerana dia bangga dapat hentam orang sesuka hati tanpa perlu bersemuka. Kalau kita tak cukup ilmu, belajar dahulu.

“Tanya kepada orang berpengalaman sebelum nak komen yang buruk. Dalam Islam mengajar doakan orang dahulu sebelum menghentam.

“Saya balas (komen) dan beritahu bahawa saya dah tanya ramai ustaz dan guru tentang penggunaan ‘chopstick’. Guru saya cakap ia tidak wajib tetapi harus.

“Saya beritahu (netizen) dan tidak menghentam kerana mahu mereka belajar. Sebelum nak komen, kena tahu ianya amalan, budaya atau agama,” ujarnya.

Ditanya tentang aktiviti sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, Adam menjawab ringkas, “setiap tahun saya akan berniaga dan jarang terima kerja (lakonan) kerana mahu beri fokus kepada perniagaan,” tuturnya.