PENYANYI Lan Solo memilih untuk tidak mengulas lanjut tentang persengketaan dan hal-hal berkaitan kes saman melibatkan dirinya bersama Siti Nordiana.

Menurut Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, dia bertindak mengunci mulut soal memaafkan pelantun lagu Angkara itu kerana tidak mahu menggangu proses mahkamah.

“Kalau bab-bab berkaitan mahkamah, saya tak berani nak komen lebih. Lagipun saya sudah serahkan kepada peguam untuk pengadilan, justeru saya tak nak mengganggu proses mahkamah.

“Insya-Allah setakat ini, maaf, minta maaf dan memaafkan itu saya sudah praktikkan selalu dengan keluarga dan orang terdekat.

“Jadi, saya sentiasa memohon maaf dan juga memaafkan orang sekeliling hari-hari. Saya rasa tidak timbul isu memohon maaf dan memaafkan.

“Kalau berkaitan kes mahkamah, saya elak untuk bercerita lebih lanjut. Kes sudah diserahkan kepada peguam, dan pengadilan yang sesuai di mahkamah. Saya bukanlah sesiapa untuk menilai atau memaklumkan sesuatu yang disoalkan,” katanya kepada URTV.

Lan berkata demikian ketika ditemui di Hari Usahawan Negara 2022 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Terdahulu penyanyi Siti Nordiana memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta kepada lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura Badron atas dakwaan masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Sebelum ini, penyanyi Syura Badron mengaku telah memaafkan persengketaan yang berlaku antara dirinya dengan Siti Nordiana, namun tetap tidak dapat melupakan perkara yang telah terjadi.

Dalam perkembangan lain, Lan Solo turut berkongsi mengenai perancangannya bersama Band Kristal X pada tahun ini.

“Insya-Allah selepas raya, adak satu gerakan bersama dengan band Kristal X. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami ada keluarkan projek reunion Seragam Hitam 2020 tetapi malangnya selepas tiga hari dilancarkan, kerajaan telah mengadakan perintah kuarantin seluruh Malaysia.

“Rancangan bersama Kristal X ini mahu keluarkan mini album. Kalau saya gerak secara sendiri, sesuai keluarkan single solo. Tetapi apabila bersama band, kepuasan yang kita mahukan adalah mini album,” ujarnya.