shiha zikir

DEK terlalu sibuk dengan kerjaya, penyanyi Shiha Zikir mengakui tahap kesihatannya pada tahun sedikit terjejas.

Jelas Shiha atau Nurshiha Mohd. Zikir,34, gara-gara terlampau kuat bekerja, dia hanya dapat tidur satu hingga dua jam sehari.

“Saya memang kurang rehat. Pernah tidur hanya satu jam ke dua jam sehari. Sekarang ini boleh dikatakan banyak tawaran jadi pengacara yang memerlukan komitmen dari tengahari sampai ke esok paginya.

“Di sebelah malam pula sibuk dengan kerja lain. Sampaikan suara saya hilang minggu lalu.

“Disebabkan terlalu penat, bacaan degupan jantung saya melebihi 100. Sebenarnya memang saya risau dengan kesihatan tapi kebanyakkan ‘job’ sudah di persetujui lebih awal.

“Jadi suka atau tidak, saya perlu lunaskan tanggungjawab seperti mana yang sudah dipersetujui sebelum ini. Bila dah selesai semua, mungkin saya akan perlahankan bidang pengacaraan dan tumpukan pada nyanyian serta perniagaan kosmetik pula,” katanya kepada URTV.

Shiha ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetiknya, Xmetic yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, penyanyi lagu Irama itu sedang dalam misi pencarian pelapis baharu bagi menggantikan dirinya.

“Saya sebenarnya nak mencari penyanyi yang betul-betul macam saya. Orang itu mestilah yang meminati nyanyian bukan sebab nak popular.

“Itu antara keinginan saya selepas lebih 10 tahun berada dalam industri seni. Saya ada sasaran nak bekerja sampai bila, cuma tak semua perkara kita boleh kongsi pada semua orang.

“Siapa tahu, mungkin satu hari nanti saya akan duduk di belakang saja. Itu antara perancangan yang saya sudah susun, Insya-Allah,” ungkapnya.