PASUKAN e-sukan Malaysia menyasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu emas bagi permainan PUBG dalam Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung di Vietnam 12 Mei hingga 23 Mei ini.
Pengurus pasukan negara, Kelvin Pang Ching Kuen berkata, Malaysia akan menghantar dua pasukan bagi permainan PUBG iaitu GeekFam dan Tabah NSEA.
“Permainan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu acara berkumpulan (empat orang) dan solo.
“Selain itu, dua pasukan Free Fire akan dihantar manakala MLBB, AOV dan League of Legends masing-masing akan ada satu pasukan,” ujar Kelvin memetik laporan Bernama.
Baca artikel berkaitan: Tidak hanya e-sukan, Team Haq Esports Club jalin kerjasama rapatkan ukhwah
Mengulas lanjut, Kelvin berkata, jumlah pemain turut ditambah bagi memberi ruang buat pemain simpanan didaftarkan.
Selain itu, katanya, kesemua nama pemenang yang layak mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Hanoi turut telah diumumkan.
Pasukan-pasukan yang layak bagi setiap permainan adalah:
PUBGM – GeekFam dan Tabah NSEA
Mobile Legends Bang Bang – Todak
League of Legends, Wild Rift – SEM9
League of Legends – SEM9
FIFA 4 – Orang Esports, Favlain
Free Fire – Secret Xpert dan Sorry Roar
Untuk rekod, pasukan e-sukan Malaysia sebelum ini berjaya meraih pingat Perak dalam permainan Hearthstone dan pingat Gangsa bagi permainan Mobile Legends Bang Bang.
Malaysia akan menyertai lapan daripada sembilan permainan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Hanoi nanti.
Berdasarkan prestasi semasa bagi setiap pasukan e-sukan negara, Malaysia dijangka mampu mendapat sekurang-kurangnya lima pingat daripada semua permainan yang disertai.