Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad./ Gambar BERNAMA

HARI ini berita gembira diterima seluruh umat Islam apabila Kerajaan Arab Saudi bersetuju membenarkan sejuta jemaah menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Selama dua tahun sejak 2020, jumlah jemaah haji yang dibenarkan adalah dalam bilangan sangat kecil bagi mengekang penularan COVID-19.

Justeru, berita terbaru ini disambut dengan kesyukuran, cuma ketika ini ramai ternanti-nanti jumlah kuota jemaah yang diperuntukkan untuk setiap negara termasuk Malaysia.

Apakah berpandukan 0.01 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara seperti mana lazimnya – atau ada pengurangan atau penambahan?

Mengulas hal ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara berkaitan kuota dijangka diketahui sedikit masa lagi.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pihak Tabung Haji (TH) akan segera memaklumkan kepada saya apabila kuota haji bagi negara kita akan dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi,” katanya.

Baca: Haji 2022: Terhad sejuta jemaah, mesti bawah 65 tahun

Kos haji meningkat, kerajaan jamin terus salur subsidi

Apa pun kata Idris, TH sudah bersedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah.

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota, dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik.

“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua.

“Terus berdoa, sabar dan fokus dalam menjalani ibadah ramadhan, dan sungguh-sungguhlah berdoa agar kita dapat menjadi tetamu Allah kelak,” jelasnya.

Menerusi catatan di Facebook miliknya itu, Idris memanjatkan rasa syukur dengan pengumuman kerajaan Arab Saudi itu.

Menurutnya, dua tahun adalah satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang merindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang penuh hikmah.

“Pastinya berita ini benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam ke lima ini.

“Dan jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan ibadat haji tahun ini dibuka kepada sejuta jemaah.

Bagaimanapun hanya mereka yang berusia di bawah 65 tahun sahaja dibenarkan.

Sejak penularan COVID-19 pada 2020 dan 2021, jumlah jemaah haji yang dibenarkan adalah sangat sedikit.

Ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Untuk rekod, seramai 263 jemaah Malaysia diberi kebenaran menunaikan haji tahun lalu manakala pada 2020 hanya lapan orang.

Kebenaran menunaikan haji adalah untuk warga asing yang berada di Arab Saudi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram