Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, Akademi Seni Filem dan Sains mengambil tindakan tegas terhadap bintang terkenal Hollywood, Will Smith untuk tidak membenarkan menyertai acara terbabit selama 10 tahun.

Ia susulan insiden Smith menampar pelawak Chris Rock di atas pentas ketika acara berpestij itu sedang bersiaran langsung sekaligus mengejutkan penonton seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Akademi Seni Sains Filem semalam, Smith juga dihalang untuk menghadiri mana-mana acara anjuran lembaga akademi dalam tempoh sama.

Memetik laporan portal BBC News, tindakan Smith menampar muka Rock dianggap satu kelakuan yang mmberi impak negatif kepada semua pihak.

“Larangan dilakukan terhadapnya bagi bertujuan melindungi karyawan seni dan tetamu agar terus meletakkan kepercayaan kepada Anugerah Akademi.

“Selama insiden pergeseran antara mereka terjadi, kami tidak cukup menangani situasi tidak terduga ini. Kami tidak bersedia untuk isu yang belum pernah terjadi sebelumnya. Untuk itu, kami minta maaf.

“Terima kasih kepada Rock kerana menangani situasi terjadi dengan profesional,” kata kenyataan terbabit.

Ketika kejadian, Rock yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi penyampai kategori Dokumentari Terbaik telah membuat jenaka mengenai kepala botak isteri Smith, Jada Pinkett Smith dengan menyamakannya seperti watak GI Jane lakonan Demi Moore.

Menganggap jenaka tersebut tidak sensitif dan mengaibkan, Smith telah naik ke pentas dan terus menampar muka Rock.

Dalam acara yang sama, Smith turut diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem King Richard.

Terdahulu, Smith meletak jawatan daripada menjadi ahli Akademi Seni dan Sains Filem pada 1 April lalu selepas menyesali kesalahan yang dilakukan.