Mesyuarat Majlis Sains Negara berlangsung semalam secara hibirid dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

MESYUARAT Majlis Sains Negara (NSC) semalam membincangkan berkenaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025, yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.

“Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal, mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara itu juga akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara, termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Kata Ismail Sabri, peluang pekerjaan itu merangkumi pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 5,968, separuh mahir (24,755) serta kurang mahir sebanyak 2,668 orang.

Ujar beliau, industri berkenaan dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, jelas Ismail Sabri, mesyuarat turut membincangkan penawaran modal insan dan permintaan pasaran pekerjaan dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.

Baca: Ismail Sabri paling banyak terlibat urus COVID-19, dari Menteri Pertahanan hingga PM

Mesyuarat Majlis Sains Negara berlangsung semalam secara hibirid dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius jumlah pelajar dalam bidang STEM, yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus.

“Minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah menerajui Hala Tuju STEM,” jelasnya.

Turut disentuh dalam mesyuarat tersebut ialah kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Inovasi Sosial Malaysia (MyIS), yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kata Ismail Sabri, usaha itu adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi, selain inisiatif berkenaan dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40, dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan.

“Kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif ‘National Technology and Innovation Sandbox’ (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan, yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara,” ujarnya.

Perdana menteri berkata mesyuarat turut bersetuju menambah baik struktur tadbir urus inisiatif NTIS, dengan Jawatankuasa ‘Task Force’ NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS.

Selain itu, Majlis NTIS turut dimansuhkan dan digantikan dengan pelaporan kepada NSC, yang dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada, memandangkan NSC turut dipengerusikan Perdana Menteri serta Jawatankuasa Task Force NTIS yang baharu diwujudkan, akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI.

Ismail Sabri berkata, MSC dalam mesyuarat semalam juga mengambil maklum akan hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim.

“Pandemik COVID-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia, dan terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.

“Bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu ini secara holistik, mesyuarat juga bersetuju agar MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN),” katanya.

Ismail Sabri juga berkata mesyuarat NSC yang pertama diadakan tahun ini, telah membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang STI sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).