HAIRAN bin ajaib. Itu yang terlintas di fikiran apabila laman Facebook Corporate Communication JKR Sarawak memuat naik Projek Siap Bina Baru Jeti Kampung Mutap di Miri, Sarawak.
Manakan tidak, jeti yang diperbuat daripada kayu dengan reka bentuk sederhana itu dikatakan menelan kos RM50,000.
Menurut Corporate Communication JKR Sarawak, projek yang bermula pada 7 Mac itu siap lebih awal daripada jadual iaitu pada 1 April lalu.
Katanya, jeti tersebut dibina untuk menggantikan jeti lama yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
“Projek RTP DUN N.71 Bekenu, Bina Baru Jeti Kampung Mutap merupakan salah sebuah projek di bawah seliaan JKR Miri dengan kos projek berjumlah RM50,000.00.

“Skop kerja bagi projek tersebut adalah pembinaan jeti 1m lebar x 15m panjang.
“Dengan siapnya jeti ini, ianya akan memudahkan penduduk Kampung Mutap, Bekenu untuk menjalankan aktiviti harian.
“Ia terutama ketika berlaku banjir serta air pasang besar kerana penduduk kampung akan menggunakan laluan sungai sebagai laluan alternatif untuk ke Pasar Bekenu,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Sarawak akan guna gelaran ‘Premier’ dan ‘Timbalan Premier’ selepas diwartakan
Dalam pada itu, kenyataan yang dimuat naik Corporate Communication JKR Sarawak dua hari lalu itu menjadi tular di media sosial.
Rata-rata warganet mengecam projek jeti tersebut kerana kos RM50,000 itu dilihat tidak sepadan dengan hasilnya.