Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. GAMBAR: Abd Razak Aid

KETUA kampung dan penghulu antara pemimpin masyarakat setempat yang digesa untuk memainkan peranan dalam membantu individu serta keluarga miskin di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara peranan utama mereka adalah menyalurkan maklumat mengenai isu kemiskinan itu kepada agensi kerajaan agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan.

Jelas beliau, ketua kampung, penghulu atau ahli jawatankuasa kariah masjid boleh membantu kerana ada antara golongan miskin yang tidak tahu cara mendapatkan bantuan.

“Yang saya bimbang itu dia tidak dapat sampaikan info dia miskin kepada orang lain. Dia miskin lepas itu tidak ada siapa yang ambil kisah mengenai dia, tiada siapa yang ambil tahu. Akhirnya pemberita (media) yang dapat tahu.

“Kalau pemberita dapat tahu pun tidak mengapa, boleh bagi maklumat kepada kita (kerajaan). Kadang-kadang saya tengok yang tular itu yang jumpa dulu media,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pekebun kecil RISDA boleh dapat manfaat sekiranya ketum dibenar eksport – Mahdzir

Dalam pada itu, Mahzri berkata, kementeriannya turut menyediakan pelbagai program untuk membantu keluarga miskin termasuk membaik pulih atau membina rumah baharu buat mereka.

Jelas beliau, antara program bantuan yang boleh dipohon adalah seperti membaiki rumah rosak akibat ribut, banjir atau telah uzur seperti di Kelantan.

“Di Kelantan, program baik pulih atau membina rumah untuk rakyat termiskin dilaksanakan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

“Kita ada peruntukan untuk baiki rumah, tapi siapa yang nak tolong dia? Yang nak tolong dia ini sama ada ketua kampung, penghulu mukim dan pejabat daerah untuk bawa maklumat itu kepada agensi kita,” katanya.