SUASANA di lapangan terbang ketika keluarga, sahabat dan pegawai-pegawai dari UUM menyambut ketibaan pesawat Nur Nabilah di KLIA, malam tadi. - Gambar FB UUM

PELAJAR tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Nur Nabilah Mohd Azaha, 25, yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalan latihan amali berkaitan menyelam di Curacao, Caribbean pada 7 Januari lalu telah selamat tiba di tanah air, semalam.

Pesawat yang membawa Nur Nabilah itu telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8 malam.

Ketibaan Nur Nabilah telah disambut Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM.

Turut hadir ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.

Dr. Haim Hilman berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana Nur Nabilah telah kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan dan membantu UUM dlaam urusan rawatan pelajar tersebut.

“Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan saya berharap dia dan keluarganya kuat dan tabah serta kuat semangat untuk teruskan rawatan ini,” katanya memetik laporan UUM Online.

BERITA BERKAITAN Ibu Nur Nabilah terbang ke Venezuela hari ini

Sementara itu, ibu Nur Nabilah, Nor Manira mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam urusan rawatan anaknya di Curacao, khususnya Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UUM.

“Alhamdulillah akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang di atas kerjasama semua pihak terbabit dan saya rasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat.

“Di samping itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor yang sentiasa berhubung bertanyakan perkembangan Nur Nabilah sehingga kini,” katanya.

Kegembiraan menyambut ketibaan Nur Nabilah turut dikongsikan bersama rakan baiknya, Aiman Qistina Balqis Azman yang dikenali lebih tujuh tahun lalu.

Katanya, dia berasa gembira dan pada masa sama rindu untuk bertemu rakan baiknya itu sehingga sanggup mengambil cuti semata-mata ingin menyambut kepulangan Nur Nabilah atau lebih dikenali sebagai Bella.

“Saya berharap Bella akan menerima ‘positive energy’ dan segera sembuh serta dipermudahkan segala urusannya dengan lancar,” katanya juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

Pada 31 Disember lalu, media melaporkan Nur Nabilah mengalami kemalangan sehingga putus kaki kanan dan retak lengan kiri akibat terkena kipas bot sewaktu menjalani latihan amali menyelam di Dive Division, Curacao pada 28 Disember.