SETELAH kejayaan lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti yang ‘trending’ di TikTok, penyanyi remaja Anneth Delliecia, 16, kini melancarkan sebuah single terbaru yang berjudul Masih Belum Lupa.

Single terbabit merupakan hasil sentuhan Ade Govinda yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu ‘berhantu’, Tanpa Batas Waktu dendangan Fadly dari kumpulan Padi.

Berentak balada, Masih Belum Lupa ditulis berdasarkan pengalaman hidup nyata Ade tentang perasaannya yang masih sangat sulit untuk melupakan pengalaman patah hati yang pernah dilaluinya.

Menurut Ade, lagu tersebut dicipta pada 2020 tetapi dia hanya melamar Anneth pada 2021 berikutan pelbagai kekangan termasuk pandemik COVID-19.

Katanya, sewaktu menyiapkan karya itu, memang tiada penyanyi lain terbayang difikirannya melainkan penyanyi remaja itu kerana tertarik dengan vokal ‘husky’ dimiliki anak gadis yang pernah mengungguli Best Asian Artis di Mnet Asian Music Awards atau MAMA 2021 yang berlangsung di Korea Selatan pada Disember lalu.

“Projek lagu ini adalah antara yang terpanjang pernah dihasilkan kerana banyak penambahbaikan dan juga pengubahsuaian dilakukan sepanjang perjalanan untuk menyiapkannya.

“Sewaktu proses membuat lagu Masih Belum Lupa, saya merasakan hanya Anneth yang bersesuaian untuk membawakan lagu itu kerana bagi saya dia seorang penyanyi yang sangat istimewa kerana mampu menyanyi dan membuat lagu.

“Tidak ramai penyanyi yang mampu menulis lagu, selain kualiti vokal dimiliki Anneth yang pada saya berada pada kelasnya yang tersendiri.

“Sewaktu saya ‘approach’ Anneth, saya memberikan ‘master’ dan video lagu Mungkin Hari Ini kepadanya sebagai rujukkan sebelum proses rakaman dilakukan. Saya juga memberi peluang kepada Anneth untuk menambah baik bahagian yang dirasakan bersesuaian dan perlu kerana dia juga berpengalaman menulis lirik. Jadi saya mempercayai kebolehannya itu,” katanya.

Sementara itu, Anneth berkata, dia sudah lama mengidolakan karya Ade Govinda. Justeru, saat menerima tawaran untuk berkolaborasi, tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju menerima lamaran daripada Ade.

Namun kata Anneth, dia menimba banyak pengalaman baru sepanjang menyiapkan Masih Belum Lupa yang disifatkan sebagai sangat mencabar.

“Saya memang sudah lama mengagumi karya-karya Ade seperti Tanpa Batas Waktu yang memang sangat hebat. Tapi saya tidak menyangka akhirnya berpeluang untuk berkolaborasi dengannya dalam sebuah projek.

“Dari awal sebelum masuk ke studio untuk proses rakaman, Ade memberi peluang kepada saya untuk mendengar dan ‘study’ lagu itu terlebih dulu. Sebaik mendengar lagu itu, saya akui ia sebuah karya yang sangat bagus, tapi sesi rakaman sangat mencabar.

“Proses rakaman berlangsung sehingga ke malam kerana banyak penambahbaikan perlu dilakukan dari sudut vokal, dan ini bagi saya adalah lagu paling susah pernah saya nyanyikan,” kata Anneth.

Berkongsi cerita lagi, kata gadis kelahiran Balikpapan, Kalimantan Timur itu lagi, dia juga ‘dipaksa’ mengikuti kelas tarian oleh Ade kerana Ade ingin menampilkan kelainan pada muzik video Masih Belum Lupa.

“Ketika Ade meminta saya mengikuti kelas tarian kerana dia ingin saya sendiri menari untuk video klip lagu itu, pada mulanya saya sangat terkejut. Tapi saya menganggap permintaan Ade itu sebagai satu cabaran baru buat saya.

“Inilah masanya untuk saya keluar dari zon selesa dan menunjukkan bakat menari pula,” ulasnya.

Sementara itu ditanya bagaimana dia menghayati lirik patah hati memandangkan dia masih terlalu muda dan pastinya belum pernah melalui episod putus cinta, Anneth berkata, ia tidaklah sesukar mana kerana dia hanya perlu menghafal serta memahami lirik yang ingin dinyanyikan.

“Selain itu saya turut merujuk kepada Ade untuk bertanya bagaimana rasa sakit akibat putus cinta. Tetapi Ade menulis lagu ini mengikut kesesuaian usia saya dan lagu ini bukanlah sepenuhnya tentang sakit dikecewakan tetapi bagaimana seseorang itu bangkit setelah melalui episod kekecewaan,” jelasnya.

Masih Belum Lupa diterbitkan oleh MyMusic Records dan berkolaborasi dengan Rans Musik sebagai label Anneth.

Single berkenaan sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox dan KKBox Deezer.