Persoal kesucian bakal isteri bukanlah satu langkah yang bijak dalam menentukan hala tuju bahtera perkahwinan yang dibina, sebaliknya ia hanya memusnahkan kepercayaan dan kasih sayang andai jawapan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

Islam mengajarkan kepada umatnya tidak terlepas daripada melakukan dosa yang terkait dengan Allah agar merahsiakan dosa itu dan harus menyelesaikan antara dirinya dan Allah. Pendosa perlu bertaubat dan menyesali perbuatannya tanpa harus menceritakan dosanya kepada sesiapa pun termasuk orang terdekat dengannya.

Rasulullah SWT menasihatkan,

“Siapa yang tertimpa musibah maksiat dengan melakukan perbuatan semacam ini (perbuatan zina), hendaknya dia menyembunyikannya, dengan kerahsiaan yang Allah berikan,” (HR. Malik dalam Al-Muwatha’, 3048 dan al-Baihaqi dalam Sunan as-Sughra, 2719)

Menurut Firdaus Mokhtar menerusi perkongsiannya, merasakan diri terlalu baik dan isteri tidak harus mempunyai dosa adalah satu pemikiran yang tidak sepatutnya wujud kerana tanggungjawab suami adalah sebagai pembimbing dan pembela isteri.

Ikuti pesanan yang cukup padu ini.

“Saya terima satu soalan. Soalan ni daripada seorang lelaki.

“Nak tanya pendapatlah kalau saya jumpa pasangan saya dan saya niat nak jadikan dia isteri. Tetapi saya hendak bertanya tentang aib dia sama ada dia suci lagi atau tidak, boleh ke?

Dan boleh ke saya mengugut dia, jikalau dia tidak memberi tahu dengan jujur dan selepas saya nikah dengan dia saya dapat tahu dia tidak suci, rumah tangga tidak akan bahagia dan boleh menyebabkan penceraian.”

Dah tentu saya edit ejaan bagi mudah nak baca. Kalau ikutkan ejaan asal, ya ampun, jenuh nak faham.

Untuk soalan ini saya jawab;

“Jawapannya tak boleh.”

Dia tanya lagi, “Kalau tak boleh susah juga tu takut tak bahagia je bila dah kahwin.”

Allahu. Saya tepuk dahi.

Saya balas soalan dia begini;

“Tak bahagia ni bukan terletak pada diri seorang sahaja. Kalau suami pandai menerima isteri yang bertaubat, dia boleh didik elok, tak jadi masalah.

Yang jadi tak bahagia, belum kahwin lagi dah fikir macam macam ke bakal isteri. Dah kahwin nanti, tak boleh salah sikit, semua isteri nampak buruk.

Jadi punca rumahtangga tak bahagia. Allahhh.

Takkan begitu bang.

Lepas tu beria nak tanya ada ke bakal isteri pernah buat dosa sampai tak suci, kenapa ya?

Maaf saya agak terkilan dengan soalan macam ni.

Seolah merasakan diri kita cukup baik, dan pasangan jangan ada silap sikit pun. Kalau silap, dia tak layak untuk kita yang sangat baik ni.

Hati hati berperasaan tuan. Kita ini lelaki, kena jadi pembela isteri nanti. Bukan manusia yang asyik lukakan hati isteri.

Terima bakal isteri kita seadanya. Kalau tuan yakin tuan seorang yang baik, percayalah Allah akan beri tuan seorang isteri yang baik macam tuan juga.

Macam itulah sebaliknya nanti.”

Kawan-kawan, apa yang kita fikir, itulah yang akan datang kepada kita.

Maka, berbaik sangkalah dengan Allah. Kalau itu jodoh kita, itulah yang terbaik buat kita.

Begitulah.

Puasa puasa ni pelik juga soalan yang datang. 🤷🏻‍♂️”

Sumber : Firdaus Mokhtar