OLEH: DZUL BAHRIN ASMAWI

“SIA ENGINEERING COMPANY SIGNS MOU FOR HANGAR FACILITIES IN SUBANG, MALAYSIA.”

Begitulah tajuk kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Singapore Airlines Engineering Company (SIAEC) dan kenyataan ini telah dipetik oleh akhbar The Sun pada 5 April lalu.

Ia menggambarkan seolah-olah tiada pengusaha tempatan yang berkebolehan dan mengikut The Sun, ia telah dipersetujui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dengan erti kata lain, ia telah menafikan hak syarikat tempatan untuk bersaing dan juga menafikan sejarah Kompleks Malaysia Airline System (MAS) Subang tersebut.

Dan lebih parah lagi, ia satu keputusan yang tidak sensitif kepada bekas-bekas pekerja MAS yang telah menjadikan kompleks itu salah satu daripada kompleks penyelenggaraan kapal terbang terunggul di Asia Pasifik.

MAS Engineering, pemilik asal Kompleks Subang

Di zaman bekas Pengarah Urusan, Tan Sri Abdul Aziz Abd. Rahman, ia mula dibangunkan pada tahun 1980an dahulu. Abdul Aziz adalah seorang negarawan dan juga arkitek Rukun Negara.

Ia telah menerima pelanggan daripada luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, Yugoslavia, Australia, India, Hong Kong, Indonesia dan beberapa lagi termasuk China dan negara di Afrika.

Syarikat-syarikat penerbangan besar seperti Qantas, KLM, Alitalia, World dan lain-lain berlumba untuk mendapat slot hangar kerana permintaan yang tinggi.

Waktu itu MAS mempunyai permit penyelenggaraan dari AS iaitu Federal Aviation Administration (FAA); dari United Kingdom dan Hong Kong iaitu Civil Aviation Authority (CAA); dari Eropah iaitu European Union Aviation Safety Agency (EASA); dari China iaitu Civil Aviation Administration of China (CAAC); dari Australia dan banyak lagi permit-permit.

MAS Engineering juga menyumbang pendapatan yang banyak kepada negara dan menjadikan jurutera-jurutera pesawat Malaysia menjadi rebutan syarikat penerbangan luar negara.

Kita membina mereka melalui sistem latihan perantis yang telah terbukti malah kita menerima pelajar luar negara, contohnya dari Oman di mana kemudiannya mereka menjadi salah satu tenaga pengurusan Oman Airways.

Jurutera-jurutera kita pun telah membantu membangunkan syarikat penerbangan gergasi di Asia Barat seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad. Jurutera Malaysia, bukannya Singapura. MAS Engineering juga membina alat tukar roda bagi pesawat Boeing 737 dan Airbus A320, alat tersebut masih digunakan sekarang di serata dunia.

Pada tahun 1980an dan awal tahun 1990an, SIAEC juga belum wujud, syarikat gergasi aeroangkasanya, ST Aerospace pun sama. MAS Engineering pernah ditaksirkan oleh Maybank Investment Bank Bhd bernilai RM2 bilion pada tahun 2014.

Segalanya berubah selepas Abdul Aziz bersara, selepas itu, pemegang-pemegang teraju telah memecahkan MAS keapda beberapa anak syarikat dan telah dijual semuanya.

Bermula dengan pusat penyelenggaraan enjin, iaitu AERO telah dijual kepada GE. Syarikat penyajian yang pernah berinovasi dalam menghasilkan mesin basuh pinggan iaitu Brahim LSG Sky Chefs kemudiannya menjadi Brahim SATS, syarikat yang dikuasai Singapore Airlines.

Baca artikel berkaitan: Malaysia Airlines terima suntikan RM3.6b daripada Khazanah

Tindak-tanduk kerajaan Malaysia dan langkah Singapore Airlines

Pada zaman 2010 ke atas, perubahan kepada dasar kerajaan telah melahirkan AirAsia, Malindo dan lain-lain telah memudarkan prestasi MAS, sebuah syarikat yang pernah menyandang kedudukan sebaris Qantas, British Airways dan Cathay Pacific pada tahun 1990an. Keadaan ini telah dimanfaatkan Singapore Airways.

Mereka mula membeli bekas anak syarikat entiti-entiti kerajaan Malaysia seperti Pos Aviation, Brahim Skychefs dan banyak lagi. Perkara ini dijelaskan melalui kenyataan ini,

Along with our recently announce plans to acquire SR Technics Malaysia and POS Aviation Engineering Services….“, ia bererti dengan kelulusan MIDA pegangan syarikat-syarikat tersebut melebihi 50 peratus.

Kalau dibiarkan akhirnya syarikat penerbangan nasional hanya menjadi kenangan. Kita kembali pada zaman Malaysia Singapore Airlines (MSA) pada tahun 1965 hingga 1972. Kita berpisah kerana aspirasi nasional berbeza.

Pada zaman MSA dahulu, Kuala Lumpur hanyalah sebuah stesen hiliran, segalanya di Singapura, daripada pejabat korporat kepada kejuruteraan. Semua alat ganti pesawat kemudiannya akan datang dari Singapura.

Begitu juga, mengikut keratan akhbar The Sun, “…our growth in Malaysia will complement the capabilities of our Singapore hub.”

Kesan langkah Singapore Airlines

Tiada ekosistem aeroangkasa boleh wujud kalau segalanya dikawal oleh Singapura. Malah, industri aeroangkasa hanyalah menjadi khayalan kerana dibantutkan dengan kehadiran SIAEC.

Industri penyelenggaraan kapal terbang (MRO) domestik akan berpindah kepada syarikat ini. Mereka mempunyai kebolehan pesawat Boeing 737 dan Airbus A320. Oleh kerana mereka mempunyai pangkalan MRO di seluruh ASEAN, maka sukar bagi pesaing tempatan menyaingi kos mereka.

Industri MRO tempatan akan menguncup dan mungkin mengalami kepupusan.

Tenaga profesional kita akan hanya tinggal pada pekerja bawahan dan pertengahan sahaja kerana Singapore Airlines akan menjalankan polisi yang sesuai dengan kepentingan korporatnya.

Kita tidak boleh meletak agenda nasional pada polisinya atas alasan kerajaan Malaysia mengamalkan dasar ‘mesra perniagaan’ pada pemodal asing.

Kesan Geopolitik.

Mengenai geopolitik, seperti mana yang kita ketahui Perdana Menteri telah menyatakan sikap berkecuali kepada konflik Rusia-Ukraine. Singapura telah dicop sebagai ‘negara musuh’ oleh Rusia kerana dengan lantang menyokong AS.

Kita tidak mahu dicop sekali oleh Rusia kerana negara itu merupakan pembeli komoditi kita. Kita juga mempunyai jet-jet pejuang buatan Rusia seperti MiG-29 dan Sukhoi Su-35. Hubungan dengan Rusia harus dipelihara. Memberi Singapura industri strategik ini akan menghantar ‘isyarat salah’ kepada Rusia.

Kesan Strategik

Kedudukan syarikat milik kerajaan Singapura memegang kepentingan dalam syarikat milik kerajaan Malaysia adalah bertentangan dengan polisi negara. Adakah Singapura akan mengizinkan syarikat milik kerajaan Malaysia memegang kedudukan strategik dalam industrinya? Kerajaan harus memikirkan sedalam-dalamnya mengenai perkara ini.

Kesan pada maruah Malaysia

Adakah patut kita berpaling ke belakang selepas kita mengecap kemajuan demi kemajuan. Kitalah menjadi ibu kepada syarikat penerbangan gergasi di Asia Barat dan menjadi inspirasi kepada Singapura untuk meneroka bidang aeroangkasa.

Langkah seterusnya

Industri aeroangkasa adalah sebuah industri bernilai dan berteknologi tinggi serta mampu menyumbang kepada KDNK negara. Industri ini mampu menerbitkan industri hiliran dan peluang pekerjaan profesional dan berpendapatan tinggi.

Industri ini juga boleh menyumbang kepakaran yang boleh membawa kepada kemajuan industri pertahanan, angkasa lepas dan banyak lagi industri lain.

Kita boleh gunakan Turki sebagai contoh, sebuah negara maju yang telah memajukan industri aeroangkasa, pertahanan dan angkasa lepas dengan berstruktur.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah diatas, langkah Khazanah Nasional ini adalah tidak bijak dan harus ditarik balik. Kita tidak harus memikirkan untung sahaja, kalau tidak menang sorak kampung tergadai.

Jika kita tidak tangani ini maka, kaduk naik ke junjung dan berputih matalah kita pada keadaan nasi sudah menjadi bubur.

Ini adalah saranan rakyat yang kebanyakannya bermaruah dan cintakan kedaulatan negara kita ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra