Persidangan yang mengangkat tema 'Shaping Future Governments' turut dihadiri Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum. /Gambar FB Ismail Sabri Yaakob

ISU mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mendapat sambutan pegawai tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya tohmahan dan spekulasi semata-mata.

Itu penegasan Kementerian Luar Negeri (KLN) ketika mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Menurut KLN, lawatan Perdana Menteri ke Ekspo 2020 Dubai itu telah berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

“Semasa lawatan ini, Perdana Menteri telah menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan.

“Beliau juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena ekspo itu.

“Seperti lawatan-lawatan sebelum ini, Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan dengan Keluarga Malaysia di Dubai.

“Di samping itu, Perdana Menteri turut menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (World Government Summit – WGS) pada 30 Mac.

“Semasa majlis ini, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan Naib
Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Yang Mulia Sheikh
Mohammed Rashid Al Maktoum,” ujar KLN dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PM hadir Persidangan Kerajaan Dunia 2022 di Dubai

KLN menambah, Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan.

Jelas KLN, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar Sultan Al Olama semasa majlis perlepasan pulan Perdana Menteri dari Dubai.

“Semasa di lapangan terbang itu, Tuan Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE
kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS 2023.

“Perdana Menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut,” jelas KLN.

Sementara itu, KLN turut memberi justifikasi berhubung isu Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang.

Menurut KLN, tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri itu.

“Ia seperti mana yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.

“Kegagalan ini termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

“Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada,” kata KLN.

KLN menambah, Ketua Perwakilan Malaysia tetap perlu menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikut SOP untuk Perdana Menteri walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu.

Jelas KLN, kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada Putrajaya
tentang penganjuran WGS yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai.

“Pimpinantertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.

“Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS,
pastinya usaha telah dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,” jelas KLN.