nicky
Nicky Liow yang menjadi buruan polis kerana pelbagai jenayah terancang tampil menyerah diri, pagi tadi.

SELEPAS setahun melarikan diri tanpa kesan, ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow akhirnya tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa, hari ini.

Memetik laporan BH Online, Nicky, 34, tampil menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Menara KPJ, Jalan Tun Razak pada pukul 11 pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, Nicky yang juga pengasas Winner Dynasty Group itu akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Kata beliau, ahli perniagaan itu berdepan lebih 20 kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Razarudin berkata, siasatan sebelum ini berhubung Seksyen 130 V hingga Seksyen 130 ZB Kanun Keseksaan bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digugurkan oleh mahkamah.

“Dia (Nicky) akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam esok (hari ini) untuk menghadapi sebanyak 26 pertuduhan.

“Sebelum ini pada 23 Mac lalu, Mahkamah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas Nicky atau Liow Soon Hee untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLAFTA,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Geng Nicky: Polis perkemas kertas siasatan, teliti akaun bank – Ayob Khan

Pada 9 April tahun lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac tahun lalu.

Polis dilaporkan turut menahan menahan 10 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 antara 21 hingga 26 April tahun lalu.

Ketua Polis Johor ketika itu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dipetik berkata semua penguat kuasa itu dipercayai bersekongkol dengan ‘Geng Nicky’ diberkas sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Nicky dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac 2021 itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.

Polis pada ketika itu mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Geng Nicky.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra