PENYANYI Hafiz Suip melahirkan kegembiraan apabila isterinya, Nureffy Jesreel kini manis berhijab bersempena mengambil keberkatan bulan suci Ramadan.

Hafiz berkongsi keterujaannya itu menerusi entri dalam akaun Insagram dengan memuat naik gambar swafoto dirinya bersama isteri yang memakai tudung bercorak keemasan dan berwarna hitam.

“Ya Allah, semangat aku nak selfie dengan bini aku Ya Allah. Semoga hidayat ke seluruh alam, amin ya rabbal alamin. Cantik,” tulisnya.

Perkongsian Hafiz atau Mohd. Hafiz Mohd. Suip,32, itu turut menarik perhatian dan pujian daripada peminatnya termasuklah rakan artis yang mendoakan isterinya kekal istiqamah.

Malah, pendakwah terkenal, Ustaz Abdullah Khairi turut menitipkan kata-kata positif atas perubahan berkenaan.

“Hidup dalam beragama, rezeki pada ketenangan. Jangan risau pada hidup tapi risau pada selepas mati,” tulisnya.

Untuk rekod, Hafiz dan Effy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016. Pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 5, dan Muhammad Alkaf Zayne, 2.