Pegawai Kesihatan memberikan suntikan Vaksin kepada sebahagian kanak-kanak pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 Hingga 12 Tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SERAMAI 164,375 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 4.6 peratus daripada populasi berkenaan di negara ini telah lengkap menerima vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak COVID-19 Kebangsaan (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, seramai 1,368,326 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, seramai 2,862,105 individu atau 92 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 2,963,947 atau 95.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Baca artikel berkaitan: Lebih 132,390 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi Covid-19

Bagi populasi dewasa pula, seramai 15,933,049 individu atau 67.7 peratus telah menerima dos penggalak, manakala 22,957,974 atau 97.6 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,235,033 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 46,823 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 32,183 sebagai dos kedua, 10,180 sebagai dos penggalak dan 4,460 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,272,251.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 19 kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Malaysia semalam, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu empat kes, diikuti Johor, Kedah, Pahang, Perak, Sarawak dan Kuala Lumpur dengan masing-masing dua kes. .

Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram