Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. (Gambar fail dari FB Shahril Hamdan).

‘PENGECUALIAN’ bagi wakil rakyat yang mungkin ada sebab tertentu untuk melompat parti seperti dibangkitkan beberapa ahli Parlimen disifatkan hanya tabir asap atau smokescreen untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang berleluasa ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, semua pertimbangan ini boleh diperincikan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam menentukan apa definisi lompat yang hendak ‘dihukum’ dan apa pengecualian yang hendak dipertimbangkan.

Menurut beliau, rata-rata wakil rakyat yang melompat setelah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukannya atas semangat prinsip.

Shahril menegaskan, istilah yang sesuai menggambarkan semua adegan lompat yang berlaku pada penggal ini bukan kerana berprinsip tetapi adalah khianat.

“Sukar mengelak perasan bahawa motif apa yang disampaikan di Parlimen semalam hanyalah bersifat tabir asap untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar.

“Mustahil sebelum 9 Mei 2018 mereka percaya perjuangan parti tapi 10 Mei 2018 terus was-was. Bukan juga mereka dipecat dan dipaksa pilih rumah lain tetapi semata-mata tak sanggup jadi Yang Berhormat (YB) pembangkang.

“Begitu ramai yang menang atas tikeh rumah asal, dimenangkan oleh jentera dalam rumah asal tetapi disebabkan selepas PRU-14 rumah asal mereka bersifat pembangkang, mereka tidak sanggup kekal bersama pemimpin dan ahli membina semula rumah itu.

“Atau ‘pujukan’ tertentu terlalu menarik buat mereka sehingga sanggup melompat beramai-ramai dan lebih teruk, menarik sebahagian kecil penyokong bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: RUU Anti Lompat Parti perlu ada pengecualian, lindungi ahli Parlimen

Beberapa ahli Parlimen dalam perbahasan sewaktu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam menyuarakan perlu adanya pengecualian kepada wakil rakyat yang bukan sengaja melompat parti tetapi disebabkan faktor lain termasuk dipecat daripada parti asal.

Mengulas lanjut, Shahril menganggap kekhuatiran yang diutarakan dalam perbahasan di Parlimen semalam berada di luar konteks sebenar yang telah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, sememangnya semua pihak mahukan satu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu ketika yang lama.

“Maka, eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas. Kemudian bawalah ke Dewan Rakyat kelak dengan draf lengkap yang boleh dijayakan bersama.

“Sambil itu sedang berlaku, usahlah pihak yang menjadi pemain utama adegan lompat ini cuba mengeliru atau menutup cerita sebenar kenapa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menjadi isu sekarang,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra