Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof. - Gambar FB Dr Mujahid Yusof Rawa

AHLI Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof menganggap satira politik yang menyamakan Ahli Parlimen dengan haiwan adalah keterlaluan.

Menurut beliau, satira politik itu dilihat bertentangan dengan nilai-nilai dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Tular sebuah potret melakarkan suasana dalam dewan Parlimen yang ahlinya dilukis terdiri dari spesis primat dan amfibia kecuali Speaker Dewan dan dua pegawai bertugas.

“Walaupun secara satiranya ia adalah sebuah kritikan pedas dari perspektif pengkarya seni lukisan, namun lukisan ini mahu menggambarkan realiti seolah-olah institusi parlimen sudah bertukar menjadi sidang para beruk dan katak-katak.

“Surah Hujurat ayat ke 11 jelas melarang mencemuh dan merendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan).

“Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Baca artikel berkaitan: Puas hati, tapi Mujahid kata RCI lebih bermotif politik

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, ahli legaslatif adalah nama lain kepada ahli Parlimen yang mana ia merupakan tugas mulia yang diamanahkan kepada mereka.

Jelas beliau, syarat untuk layak sebagai ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah.

“Keberadaan mana-mana ahli Parlimen dalam dewan yang mulia adalah mewakili kelebihan undi yang diperolehinya secara demokrasi berpilihanraya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pengundinya yang akan ‘menghukum’ atau ‘memberi kredit’ kepada wakil-wakil mereka berpandukan kepada prestasi masing-masing.

“Menghukum semua ahli dewan rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan waima atas piawaian sebuah satira.

“Hormatilah pilihan majoriti para pengundi masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera,” tegasnya.