Ahli perniagaan yang pernah didakwa membelasah pengawal peribadi, Chung Chee Yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki enam kenderaan mewah hasil pengubahan wang haram. GAMBAR: Abd Razak Aid

AHLI perniagaan yang pernah membelasah pengawal peribadi dan rakannya kerana berpuasa tahun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memiliki enam kenderaan mewah hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sejak 2015. 

Tertuduh, Chung Chee Yang, Lim Lee Cheng, Tan Kah Hock, Khor Beng Sing, Tan Kwee Eng, Ng Min Lin dan Lai Yee Peng bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan tujuh pertuduhan dalam bahasa Mandari di hadapan Hakim Helina Sulaiman. 

Memetik laporan portal MalaysiaGazette, Timbalan Pendakwaraya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong menawarkan jaminan RM100,000 kepada suspek utama iaitu Chee Yang dan RM50,000 kepada enam tertuduh lain. 

Pihak pendakwaan juga memohon agar kesemua tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua kali seminggu. 

Peguam, Aidil Akmal Sharidan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan lebih rendah sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh. 

Ini kerana, kata Aidil Akmal, Chee Yang mempunyai tanggungan besar iaitu isteri tidak bekerja yang memerlukan rawatan penyakit asma, empat anak dan ibu bapa yang uzur kerana menghidap kanser. 

Baca artikel berkaitan: Selesai pertuduhan belasah pengawal, majikan ditahan untuk AMLA pula

Aidil Akmal memaklumkan, Chee Yang juga perlu membayar bon berjumlah RM800,000 bagi kesemua enam kenderaan mewah yang disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 20 April 2020. 

Hakim Helina kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan setelah mempertimbangkan hujahan pendakwaan dan pembelaan. 

Mahkamah turut menetapkan 31 Mei 2022 sebagai tarikh sebutan kes tersebut.

Kesemua tujuh pertuduhan terbabit didakwa di bawah sub seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Akta ini memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 15 kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra