waktu berbuka puasa berbeza

“… Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).” Al-Baqarah: 187

Sebagaimana yang dimaklumi, matahari tidak terbenam dalam waktu yang sama di seluruh dunia, dan juga tidak terbit dalam waktu yang sama di seluruh dunia, kerana bumi itu bulat dan berputar mengelilingi matahari. Jadi, ia jatuh (terbenam) di setiap negara pada waktu yang tertentu, mengikut apa yang dikenali sebagai longitud.

Bahkan ia juga berbeza daripada setiap negeri dengan negeri yang lain, dan bandar dengan bandar yang lain dalam negara yang sama. Seperti  yang tercatat di negara kita, waktu berbuka puasa di Selangor berbeza dengan waktu di Negeri Sembilan. Hatta dalam satu negeri  tetapi berlainan daerah juga waktu berbukanya berbeza. 

Perbezaan waktu solat daripada segi terbenam dan terbitnya mentari sudah jelas dan diketahui umum daripada sudut horizontalnya. Namun, yang menjadi kabur dan kurang penjelasannya ialah daripada vertikal iaitu berkaitan dengan tinggi dan rendahnya satu-satu tempat.

Mungkin ramai yang  terlepas pandang akan hal ini. Namun aplikasinya telah dibuat di Burj Khalifa sebagaimana yang dinyatakan di atas apabila soal ketinggian tidak dikesampingkan  dalam menentukan waktu berbuka puasa.  

Keunikan Burj Khalifa bukan sahaja terletak pada kemegahan bangunan itu sendiri yang menjadi mercu tanda  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bahkan anda boleh memilih tiga waktu berbuka puasa  yang berbeza mengikut di mana aras ketinggian seseorang berada ketika itu. 

Jadi bayangkan, ibarat 3 dalam 1, sebuah bangunan yang menapak di tanah yang sama, tetapi mempunyai tiga waktu berbuka puasa yang berbeza. 

Hal ini diakui  kebenarannya  oleh Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya (UM), Dr Saadan Man yang menegaskan, apa yang dilakukan oleh kerajaan UAE itu menepati hukum syarak.  

Malah katanya Malaysia juga dalam rangka untuk mengaplikasikan hukum kelewatan berbuka puasa di menara tinggi seluruh Malaysia terutama Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar KLCC pada masa akan datang.

Ini kerana, pihaknya dan beberapa lagi pakar daripada agensi kerajaan mula bergabung untuk mengumpulkan data dan membuat kajian serta mendapatkan maklumat, adakah wajar dibezakan waktu berbuka puasa tersebut.

Menurut Dr. Saadan yang juga salah seorang Exco Persatuan Falak Syarie Malaysia, pakar dalam ilmu falak mempunyai bacaan dan kiraan khusus berkenaan menetapkan waktu tepat untuk umat Islam berbuka puasa. Hasil dari kiraan tersebut, setiap tempat yang lebih tinggi akan dilewatkan paling minima selama 2 minit.

Ianya kerana kita berbuka puasa disebabkan oleh terbenamnya matahari seperti yang dinyatakan dalam firman Allah di permulaan ayat. Namun jika keberadaan seseorang itu di tempat yang lebih tinggi, maka kedudukan mereka akan lebih nampak lagi cahaya matahari kerana tidak terlindung oleh bukit bukau dan gunung ganang, ataupun bangunan pencakar langit yang lain.

Justeru, pengiraan waktu berbuka puasa haruslah ditetapkan oleh selagi nampak matahari tersebut, maka tidak dibolehkan berbuka. Kalau tidak nampak kedudukan matahari, jadi seharusnya mereka melewatkan paling kurang 2 minit.

Pastikan matahari terbenam barulah boleh berbuka puasa

Jelas Dr Saadan, para fuqaha juga sudah menfatwakan masalah ini secara jelas akan hal ini. Al-Allamah Ibnu Abidin al-Hanafi dalam ‘Hasyiah’nya berkata,

“Barangsiapa yang tinggal di tempat tinggi seperti menara Iskandariah, tidak boleh berbuka ia selagi matahari belum jatuh pada pandangan matanya, bagi penduduk di situ, ia boleh berbuka jika matahari telah jatuh pada pandangan mereka sebelumnya (iaitu matahari terlebih dahulu jatuh pada pandangan ahli negeri itu sebelum ia kelihatan jatuh pada pandangan orang yang tinggal di tempat tinggi). Keadaan ini sama juga ketika matahari naik bagi menentukan pengakhiran solat Subuh dan sahur. (lihat Hasyiah Ibnu Abidin, ulasan Dr. Husam Ad-deen Farfur, 6/343).

Namun, nasihatnya juga rakyat Malaysia tidak perlu gusar selagi belum keluar keputusan rasmi yang mewajibkan untuk kesemua rakyat beragama Islam di menara untuk berbuka dengan waktu lewat sedikit.

Ini kerana katanya kaedah penetapan waktu berbuka puasa di Malaysia oleh ahli ulama adalah mengikut kaedah ikhtiyad, iaitu kaedah berhati-hati. Kaedah itu menunjukkan keseluruhan waktu berbuka puasa di Malaysia telah dilewatkan 2 minit dari waktu asal perkiraan ilmu falak.

Selain itu, Malaysia juga sememangnya telah membezakan waktu berbuka puasa mengikut zon tertentu, dan kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland juga telah diasingkan dengan kawasan terdekat dengan mempunyai waktu berbuka yang berbeza. Cuma dalam bab membezakan waktu untuk menara tinggi, ianya masih lagi dalam kajian beberapa pihak berwajib. Wallahu a’lam

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare