MASJID Jin salah satu masjid yang terletak di kota suci Mekah, Arab Saudi. Masjid ini terletak di kampung Ma’la, tidak jauh dari perkuburan kota Mekah. Masjid ini turut dikenali dengan nama Masjid Al-Jin dan Masjid al-Bai’ah.

Nama masjid ini diambil sempena satu peristiwa yang ada hubung kait dengan bangsa jin. Kisah ini berlaku pada tahun ke-10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

Waktu itu, Baginda bersama para sahabat yang hendak pulang dari Thaif telah melaksanakan solat Subuh di tempat ini. Nabi Muhammad telah membacakan ayat-ayat al-Quran dari surah ar-Rahman yang diperdengarkan kepada para sahabat.

Pada waktu yang sama, sekumpulan jin yang sedang menuju Tihamah, telah terpukau mendengarkan makna dari surah Ar-Rahman yang dibacakan Nabi Muhammad.

Lantunan ayat itu telah menarik perhatian jin yang datang berjumpa Nabi Muhammad dan akhirnya menyatakan keIslamannya dan berbaiat kepada Rasulullah s.a.w.

Ada riwayat yang mengatakan 9 Jin yang telah berbaiat kepada Nabi Muhammad. Namun ada juga yang menyebutkan 7 jin. Para jin itu berasal dari daerah yang berada di antara Syria dan Iraq.

Masjid Jin, masjid yang menyaksikan sekumpulan jin memeluk Islam setelah mendengar Rasullullah SAW membaca surah ar-Rahman.

Peristiwa tersebut telah diabadikan dalam al-Quran, surah al-Ahqaaf ayat 29 hingga 32.

“Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.” (al-Ahqaaf : 29)

Peristiwa ini juga yang menurunkan surah al-Jinn. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!” – (al-Jinn : 1)

Untuk mengabdikan peristiwa itu, maka didirikan masjid ini yang dinamakan Masjid Jin.

Masjid Jin berada 1.5 kilometer di sebelah utara Masjidil Haram. Pada bahagian kubah masjid dihiasi dengan kaligrafi ayat al-Quran dari surah al-Jinn ayat 1 hingga 9.

Dengan peristiwa di sebaliknya, masjid ini menjadi salah satu lokasi yang sering dikunjungi oleh para jemaah haji dan umrah.

Masjin Jin menjadi salah satu lokasi yang akan disinggahi oleh para jemaah yang datang ke Mekah.
Masjid Jin.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/