Sri Lanka berdepan masalah pemadaman elektrik yang berpanjangan ketika ubat-ubatan, bahan api dan barangan lain kehabisan sekali gus membawa penunjuk perasaan yang marah ke jalan raya.FOTO MEDIA SOSIAL

APABILA Sri Lanka memberi isyarat bahawa negara itu akan memasuki kancah muflis dengan mengumumkan penggantungan sementara pembayaran balik semua hutang luar negaranya semalam, adalah mengejutkan.

Ini kerana, ia bakal menamatkan rekod cemerlang Sri Lanka dalam membayar tanggungan hutang luar negaranya sejak merdeka pada 1948 tanpa gagal.

Negara kepulauan dengan populasi 22 juta orang penduduk itu juga tidak lagi dapat memenuhi komitmen melunaskan hutangnya susulan kedudukan kewangannya yang makin lemah.

Keadaan itu menyaksikan Sri Lanka berdepan masalah pemadaman elektrik yang berpanjangan ketika ubat-ubatan, bahan api dan barangan lain kehabisan sekali gus membawa penunjuk perasaan yang marah ke jalan raya.

Jika diteliti semula, faktor yang menjurus kepada krisis ekonomi Sri Lanka bermula pada penghujung November 2019 selepas Gotabaya Rajapaksa memenangi pilihan raya Presiden.

Dalam usaha memenangi Parlimen, Gotabaya memilih jalan populis yang lebih memihak kepada dasar meraih sokongan menjelang pilihan raya antaranya mengurangkan cukai termasuk pengurangan hampir separuh cukai nilai tambah.

Tanpa sebarang perundingan, langkah yang bakal menjejaskan pendapatan kerajaan itu dibuat dari aspek ekonominya bagi membolehkan rakyat berbelanja dan memulihkan kewangan kerajaan.

Pengurangan potensi pendapatan negara ketika tanggungan kerajaan yang besar berisiko dan menjejaskan pelan pengurusan hutang 2019 yang bergantung pada defisit fiskal yang mengecil.
jelas satu kesilapan.

Ini selepas negara yang bergantung ekonominya kepada hasil pelancongan terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Kerajaan juga mengambil jalan singkat seperti mengeluarkan bon asing tanpa memperuntukkan kaedah pembayaran balik dan beban hutang mengundang kesan negatif terhadap ekonomi Sri Lanka.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjur hutang kerajaan Sri Lanka setakat 2021, meningkat kepada 119 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 94 peratus pada 2019.

Dan tanpa ‘mengukur baju di badan sendiri’, kerajaan Sri Lanka terus membuat pinjaman meskipun berdepan defisit fiskal dan akaun semasa yang ketara.

Ketika hasil berkurangan, kerajaan dibelenggu dilema sama ada perlu menjelaskan hutangnya atau membelanjakan dana itu untuk membantu rakyatnya kini yang sedang menderita.

Selain itu, pemerintahan keluarga Rajapaksa turut mencalar kredibiliti kerajaan yang menyaksikan rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan hampir setiap hari sejak Sabtu lalu.

Ia bagi menggesa penyingkiran Gotabaya yang juga adik lelaki Perdana Menteri, Mahinda.

Tekanan terhadap keluarga Rajapaksa semakin memuncak apabila komuniti perniagaan penting turut menarik balik sokongan mereka dan mendesak Gotabaya dan Mahinda meletak jawatan.

Untuk rekod, sebelum peletakan jawatan Kabinet awal bulan ini, adik Gotabaya, Basil adalah Menteri Kewangan, manakala seorang lagi adiknya, Chamal menyandang jawatan Menteri Pertanian.

Anak Chamal, Shasheendra adalah EXCO kerajaan negeri manakala Namal, anak Mahinda dilantik sebagai Menteri Sukan.

Jelas, apabila ahli keluarga dan kroni mengawal kerajaan, mana-mana negara pasti akan dilanda masalah, seperti yang tercetus di Sri Lanka.

Namun tidak mudah menyelesaikan krisis politik dan ekonomi Sri Lanka kerana negara itu pernah berdepan dengan krisis Perlembagaan pada 2018.

Keadaan itu menyaksikan Ahli Parlimen melompat daripada satu parti ke parti lain jika menerima ‘habuan’ yang menarik.

Malah untuk menyelesaikan kemelut ekonomi ini, Mahinda mendakwa beliau terpaksa mempertahankan pentadbirannya dengan menyatakan parti pembangkang menolak tawaran untuk mewujudkan kerajaan gabungan.

Yang pasti, krisis ekonomi Sri Lanka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat walaupun kerajaan bertukar pemerintahan.

Usaha kerajaan mendapatkan pelbagai bantuan termasuk AS$3 bilion (RM12.7 bilion) daripada IMF bagi membantu mengimbangi baki bayaran hutang untuk tempoh tiga tahun akan datang sedang diusahakan.

Hanya kesabaran dan sokongan semua pihak dapat membantu Sri Lanka keluar daripada ambang muflis.