Sesungguhnya setiap tutur kata yang keluar daripada mulut akan menjadi saksi di akhirat kelak. Disebabkan lidah, manusia boleh terselamat daripada api neraka, namun kerana lidah juga mereka terjerumus dalam dosa.

Wasiat Imam Ghazali, lapan dosa berpunca daripada mulut iaitu mungkir janji, dusta, mengumpat, menghina, melaknat, memuji diri sendiri, banyak berbicara atau bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk.

Perkongsian Dr Rizal Abu Bakar mengenai perihal seorang lelaki tua cukup menyentap rasa. Bagaimana lelaki ini cukup tekun membaca Al-Quran walaupun penglihatannya sudah tidak berapa jelas dan dia hanya mahu menyebut kalam Allah daripada kalamnya sendiri sebagai pelindung di akhirat cukup menginsafkan.

“Saya sendiri sebak. Dengar pakcik sebelah ni menangis teresak esak. Setiap kali sangkut bacaan dia akan peluk Al Quran menangis.

Suara dia sedap. Cara dia baca pun bagus. Cuma dia tak berapa nampak lagi. Ada perkataan dia tak dapat sebut.

Sebab tu dia menangis. Lepas tu dia akan suruh saya bacakan. Saya sebut dia terus sambung. Begitulah berulang ulang antara bacaan, sangkut, tangisan dan pelukan Al Quran.

Dia kata dia nak mati saat ketika baca Al Quran. Dia nak sentiasa baca Al Quran. Dia kata mulutnya baik dia keluarkan kalam dari Allah dari kalam dia sendiri.

Rasa macam kena penampar bila dia sebut bab kalam Allah vs Kalam sendiri.

Bila tengok dia menangis dan peluk Al-Quran hati jadi sayu. Mata jadi berkaca. Lidah jadi kelu.

Terasa betapa sayang dia dengan Al Quran. Saya dok fikir ‘aku ni macam mana. Setakat mana aku angkat kalam Allah ni’

Dia pesan sebelum azan maghrib. Dia pegang tangan saya. Dia kata ‘bacakah Al- Quran. Jadikan dia teman. Nanti di akhirat dia datang sebagai peguam.’ Saya angguk. Nak balas balik tak reti.

Pesan ni saya panjangkan pada tuan puan. Biar mengalir pahala dia atas pesanan ni. Biar kita juga jadi orang yang sebut kalam Allah lebih dari kalam sendiri.”

Rasulullah saw bersabda:

فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“…Maka hendaklah ia berkata baik atau diam”. Tahanlah diri daripada mengatakan sesuatu yang kurang elok dan perbanyakkan membaca Al-Quran. Kurangkan berkata-kata andai tiada apa yang elok untuk diperbincangkan. Lebihkan kalam Allah daripada kalam sendiri agar tidak terjerumus dosa lisan.

Sumber : Dr Rizal Abu Bakar