Oleh Shahbudin Embun

Melihat kepada keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, tiga daripada empat ketetapan yang diputuskan bertujuan untuk mengelak berlakunya konflik dalaman dan perpecahan pimpinan atasan yang dikatakan ada berpuak-puak.

Lantaran keputusan MT secara sebulat suara maka dengan sendirinya UMNO akan menjadi sebuah parti yang harmoni, dilihat kuat dan padu disebabkan masing masing pemimpin atasan telah bersatu hati dan berjiwa besar demi matlamat memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Saya rasa ini adalah masanya dan akan terpahat sejarah manis pada UMNO kerana dapat menghidangkan secara musyawarah akan keputusan sebulat suara menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy dan Perdana Menteri selepas PRU kelak.

Tahniah dan terima kasih kepada UMNO di bawah kepemimpinan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden dan semua ahli MT.

Begitu juga ucapan tahniah kepada Ismail Sabri di atas kepercayaan yang diamanahkan untuk mengemudi negara berterusan selepas PRU15 jika BN/UMNO menang pilihan raya kelak. Insya-Allah peluang BN/UMNO amat cerah mengambilkira mood pengundi dan waktu jika PRU diadakan pada penghujung tahun ini.

Kesimpulannya, keputusan MT UMNO telah memberi gambaran jelas bahawa UMNO berada di landasan yang betul dan tepat untuk membawa negara ke arah kestabilan politik dan juga bagi menyelesaikan ekonomi dan kemaslahatan rakyat.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM)