Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni kanak-kanak ketika Majlis Pelancaran Coopmart dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad.

KERAJAAN menyasarkan penubuhan lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu dirangka selepas melihat peranan besar yang mampu dimainkan oleh koperasi kepada Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, langkah itu dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40.

“Ini dapat dilihat melalui Coopmart milik Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Presint 17, Putrajaya yang ditubuhkan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kedai koperasi ini bukan sahaja membolehkan ahli koperasinya menjana pendapatan melalui dividen, malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain kepada penduduk setempat dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Kewujudan Coopmart yang mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta lain-lain pembekal, penduduk setempat menawarkan situasi menang-menang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Kedai koperasi ini mampu membantu meringankan kos sara hidup keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan:Perdana Menteri ucap selamat menyambut Chithirai dan Vaisakhi

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan di bawah Program Coop Community Mart telah memperuntukkan RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan perumahan Rakyat.

Katanya, satu daripada koperasi tersebut adalah koperasi Pudina Putrajaya Berhad yang merupakan penerima manfaat program itu.

Tambah beliau, program tersebut akan diteruskan di kawasan Perumahan Rakyat Hiliran Ampang bagi membangunkan Coopmart.

“Kerajaan juga menyediakan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400,000 dan bantuan Pemetaan Rantaian Bekalan (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi Covid-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi
Pemborongan dan Peruncitan Berhad.

“Skop bantuan ini adalah di bawah inisiatif pendigitalan bertujuan membiayai kos pembangunan Sistem Pengurusan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi terhadap 24 buah pusat pengedaran koperasi,” katanya.