GUA Te Anau pernah hilang dalam sejarah legenda selama bertahun-tahun lamanya. Tiada seorang pun mengetahui ke mana gua tersebut menghilang. Walaupun ada usaha untuk menjejakinya, tapi tidak berjaya sehingga kewujudannya hampir dilupakan.

Seorang pencinta alam bernama Lawson Burrows sangat tertarik dengan cerita-cerita purba, terutama kisah kehilangan gua misteri itu. Beliau kemudiannya nekad menjalankan misi mencari gua yang hilang itu secara bersendirian.

Dengan berpandukan petunjuk dalam legenda Maori lama, dia cuba mengesan gua yang telah lenyap itu. Akhirnya selepas tiga tahun mencari, beliau berjaya menemukan semula gua yang hilang itu pada tahun 1948.  

Pergunungan tasik Te Anau.

Burrows berkata, gua tersebut rupanya tersembunyi di bawah pergunungan di pantai barat Tasik Te Anau. Te Anau merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Maori kuno – ‘Te Ana-au’. Ia membawa maksud ‘gua dengan arus air berpusar’.

Tapak lokasi Tasik Te Anau terletak di Waitomo, New Zealand. Di situ, Burrows tanpa sengaja terlihat satu aliran air sungai yang muncul dari bawah struktur batu. Keputusannya untuk mengikut arah aliran air itu telah membawa beliau ke dalam sebuah gua bertasik yang dicari selama ini – Gua Te Anau Glowworm (Te Anau Glowworm Caves).

Ketika masuk ke dalam gua itu dan mendongakkan kepala ke atas melihat bumbung gua, Burrows terkejut melihat ribuan bintang bercahaya berada betul-betul di atas kepalanya dan memenuhi setiap ruang gua.

Bumbung gua bercahaya. Pemandangannya seakan di angkasa yang dipenuhi pancaran bintang.

Semakin jauh dia bergerak ke dalam gua, suasana makin terang dan bercahaya. Saat itu, dia merasakan seperti tidak berada dalam sebuah gua yang kelam dan gelap. Tetapi seolah-olah terapung di angkasa sambil dikelilingi bintang-bintang.

Burrows seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia berasa seperti berada di dunia yang lain. Cahaya apakah sebenarnya yang terlihat seperti bintang yang memenuhi ruang gua itu?

Burrows memutuskan untuk memerhati taburan cahaya indah itu dengan lebih dekat. Apabila dihampiri dan disentuhnya cahaya tersebut, yakinlah dia masih berada dalam gua tersebut.

Gua Te Anau Glowworm merupakan gua batu kapur bawah tanah. Selain dikenali dengan nama Te Anau Glowworm, tapak semula jadi itu turut diberi nama tidak rasmi sebagai Aurora oleh para peneroka gua.

Jolokan Aurora dan Glow-worm diberikan kepada gua ini kerana ia merupakan rumah  kepada ratusan ribu spesies serangga atau ulat kalimantang. Glow-worm menjadikan gua ini sebagai tempat pembiakan sempurna.

Glow-worm ialah nama umum untuk larva serangga betina dewasa yang mampu menghasilkan cahaya melalui bioluminescence. Bioluminesensi adalah cahaya yang dihasilkan oleh makhluk hidup kerana adanya reaksi kimia tertentu.

Selain kelip-kelip atau kunang-kunang yang mampu menghasilkan cahaya, banyak lagi spesies glow-worm turut memancarkan pelbagai jenis cahaya.

Kerlipan cahaya di dlaam gua ini datang daripada serangga yang menghasilkan cahaya bioluminesensi.
Untaian cacing yang mengeluarkan cahaya.

Salah satu yang menarik perhatian ialah cacing bercahaya. Dalam Gua Te Anau Glowworm misalnya, hidup ribuan cacing bercahaya. Cacing ini sebenarnya larva daripada serangga Arachnocampa luminosa. Ketika menjadi larva, serangga jenis ini akan mengeluarkan semacam untaian benang bercahaya. Panjang benang tersebut kira-kira 30 hingga 40 sentimeter.

Ujung benang bercahaya itu berlendir. Gunanya untuk menangkap mangsa yang mendekatinya. Masa kehidupan larva ini berlangsung antara 6 hingga 12 bulan. Ia hanya boleh hidup di tempat paling gelap dan lembap sehingga cahaya ‘mereka’ boleh dilihat.

Hari ini, gua tersebut dibuka untuk tujuan komersial. Para pelancong berpeluang melihat sendiri fenomena indah itu. Namun, pengunjung tidak boleh berjalan kaki masuk kerana gua itu berlantaikan sungai yang airnya mengalir dari tasik Te Anau.

Pemandu pelancong akan membawa pengunjung menikmati pemandangan gua gemerlapan itu dengan menaiki bot kecil. Perjalanan menyusuri gua tersebut berlangsung sekitar 45 minit.

Bagaimanapun, para pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar dengan menggunakan pancaran cahaya bertalu-talu. Pelawat juga tidak dibolehkan untuk berbuat bising. Ini kerana, larva bercahaya itu sangat peka pada cahaya dan tidak tahan dengan bunyi bising.

Pemandangan bercahaya di dalam gua.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/