TV AlHijrah kekal iltizam untuk terus menjadi ladang pelaburan ilmu buat masyarakat Malaysia.

Buktinya, stesen televisyen penyiar rancangan-rancangan keagamaan ini sedang menyiarkan Cinta Ilmu, sebuah program kerohanian yang membincangkan serta menjawab kemusykilan penonton tentang persoalan Akidah, Fikah dan Ibadah Agama.

Cinta Ilmu musim ke-10 disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu, tepat jam 7.30 malam hingga 8 malam.

Memasuki tahun ke-10 disiarkan, objektif penyiaran rancangan ini masih kekal untuk memenuhi permintaan penonton yang dahagakan santapan rohani yang membaja jiwa.

Selain itu, rancangan ini juga mampu menjadi ladang ilmu serta platform rujukan untuk kemaslahatan ummah.

Istimewanya kali ini rancangan Cinta Ilmu tampil berbeza dan berwajah baharu dengan mensasarkan golongan penonton muda sebagai kumpulan penonton sasaran disamping penonton dewasa sedia ada.

Untuk itu, selain menampilkan barisan panel yang berwibawa, pihak produksi rancangan ini turut menggabungkan elemen telaah kitab serta praktikal dalam mengupas topik-topik pilihan.

Turut ditambah baik adalah penggunaan visual, grafik serta persembahan keseluruhan rancangan yang dinamik.

Malah, penonton juga berpeluang menuntut ilmu bersama Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Muhamad, Ustaz Datuk Badli Shah Haji Alauddin.

Menariknya, musim baru ini turut menampilkan panel baru iaitu Imam Muda Azhar, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, dan Dr Kamilin Jamilin serta Ustazah Zawiyah Hassan.

Panel-panel akan menelaah kitab seperti Kitab Kelahiran Teragung karya Ustaz Muhadir Haji Joll, dan kitab Al-Mu’tamad Fiqah Imam.

Pecahan tajuk perbincangan adalah Akidah & Falsafah pada setiap hari Isnin, Ilmu Fikah pada setiap hari Selasa dan Ibadah pada setiap hari Rabu jam 7.30 malam.