Taklimat mengenai World #QuranHour diadakan secara dalam talian hari ini.

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Sinergi Media Malaysia kembali menganjurkan program #QuranHour melalui tiga program utama iaitu World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’ pada 26 April ini.

World #QuranHour akan bersiaran secara langsung di Studio TV AlHijra, pada 24 Ramadan 1443H (26 April), manakala, Malaysia #QuranHour akan diadakan pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Disember tahun ini.

Hussamuddin berkata, penganjuran kali ini diyakini mampu tampil lebih hebat sekali gus memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

“Misi kita semua adalah jelas iaitu untuk ‘mengqurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah’ kerana kita nak tukar ekosistem supaya operasi sistem ummah ini mesti berasaskan kepada al-Quran.

“Jadi, untuk tujuan itu, gerakan ini perlu usaha yang bersepadu dan saya mengharapkan agar penganjuran kali ketujuh ini bakal jadi yang terbaik berbanding sebelum ini,” katanya dalam Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena World #QuranHour secara dalam talian hari ini.

BERITA BERKAITAN Malaysia #QuranHour pilih Al-Mulk dan 7 surah Musabbihat sebagai formula kejayaan umat Islam

Sesi taklimat tersebut disertai oleh wakil media yang juga rakan sinergi seperti TV Alhijrah selaku hos penyiar, Astro, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Nu Ideaktiv, Zayan FM, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima, Harakah Daily dan Denaihati.com.

World #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Program tersebut yang mengangkat surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Studio TV Alhijrah.

Dalam pada itu, Hussamuddin menjelaskan program tersebut yang bermula sejak 2015 telah berjaya menghasilkan gelombang baharu sekali gus mendekatkan masyarakat kepada al-Quran.

“Saya nak merakamkan kesyukuran kerana selepas tahun kelima penganjuran, kita sudah menghasilkan satu gelombang baharu dalam kalangan masyarakat.

“Semasa Covid-19 melanda juga, kita sudah ada program My #QuranTime yang mendapat sambutan luar biasa yang mana setiap hari kita ‘memaksa’ orang Islam duduk depan televisyen atau telefon bimbit mereka untuk dengar bacaan al-Quran, belajar tajwid, dan bertadabbur,” katanya.