Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

TRANSAKSI e-tunai semakin berkembang dengan ketara setelah mencecah RM50.5 bilion tahun lalu berbanding RM29.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semakin ramai usahawan dan peniaga termasuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bertransaksi secara e-tunai.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e-dompet.

Menurutnya, kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

Kata beliau, pelbagai inisiatif utama di bawah Bajet 2022 bakal menyemarakkan usaha digitalisasi dalam kalangan Keluarga Malaysia bagi merealisasikan ‘Kewangan Untuk Semua’ seperti mana dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026.

“Saya menyarankan kesemua usahawan khasnya PMKS supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutama ketika Fasa Peralihan ke Endemik untuk membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

“Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PM ucap selamat Good Friday buat Keluarga Malaysia beragama Kristian

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran e-Pemula secara rasmi di Universiti Multimedia, Cyberjaya, hari ini.

Program e-Pemula yang memberi manfaat kepada lebih dua juta belia itu merupakan skim transaksi tanpa tunai yang membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Program tersebut yang mengkreditkan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet golongan belia terbuka kepada golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan peranan belia amat penting kepada negara apatah lagi jatuh bangun negara terletak di tangan anak-anak muda.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, semua dasar kerajaan turut mengambil kira pembangunan belia yang bakal menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara.

“Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkatkan bagi melahirkan pekerja mahir. Semangat patriotik dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk.

“Sehubungan itu, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa kompleks belia dan suka akan dinaik taraf manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra